19 Mei 2010

Tip Hari Ini - Panduan membeli insurans II

Bahagian 2: Insurans am

Insurans am
        Insurans am merupakan polisi insurans yang melindungi anda daripada sebarang kerugian atau kerosakan yang ditanggung, selain daripada risiko yang dilindungi insurans hayat. Untuk mendapatkan perlindungan yang menyeluruh, anda perlu memahami risiko yang dilindungi insurans am untuk memastikan anda dan keluarga terpelihara daripada sebarang kejadian yang tidak diduga. 

        Lazimnya, tempoh perlindungan bagi kebanyakan polisi dan pelan insurans am adalah dalam jangka masa setahun yang memerlukan anda membayar premium secara sekali gus.

Risiko yang dilindungi insurans am adalah:

i) Kerugian harta benda, contohnya kecurian kereta atau kebakaran rumah

ii) Liabiliti yang wujud akibat kerosakan kepada pihak ketiga yang disebabkan oleh anda

iii)Kematian akibat daripada kemalangan atau kecederaan Produk utama insurans am termasuklah:


Polisi motor
        Insurans motor melindungi kenderaan anda, sama ada motorsikal, kereta atau lori, daripada risiko seperti kemalangan atau kecurian. Umumnya, terdapat tiga jenis insurans motor, iaitu pihak ketiga, kebakaran dan kecurian; dan perlindungan komprehensif. Tahap perlindungan yang anda ambil menentukan apa boleh anda tuntut sekiranya kenderaan anda mengalami kerosakan atau kerugian.
Perlindungan pihak ketiga

          Menginsuranskan anda terhadap tuntutan bagi kecederaan tubuh badan atau kematian yang berlaku kepada orang lain (pihak ketiga), dan juga kerugian atau kerosakan kepada harta benda pihak ketiga yang diakibatkan oleh kenderaan anda.

> Perlindungan pihak ketiga, kebakaran dan kecurian
Menyediakan insurans terhadap tuntutan bagi kecederaan tubuh badan dan kematian pihak ketiga, kerugian atau kerosakan harta benda pihak ketiga, dan kerugian atau kerosakan kepada kenderaan sendiri akibat kebakaran yang tidak disengajakan atau kecurian.

> Perlindungan komprehensif
Polisi ini menyediakan perlindungan yang paling luas, iaitu kecederaan tubuh badan dan kematian pihak ketiga, kerugian atau kerosakan harta benda pihak ketiga dan kerugian atau kerosakan kepada kenderaan anda sendiri akibat kebakaran yang tidak disengajakan, kecurian atau kemalangan.

Polisi kebakaran/empunya rumah/isi rumah
           Insurans kediaman atau insurans empunya rumah/isi rumah merupakan salah satu polisi insurans terpenting yang boleh anda beli. Rumah anda merupakan salah satu pelaburan terbesar dalam hidup anda. Oleh itu penting untuk anda melindungi rumah anda. Terdapat 3 jenis polisi utama yang boleh melindungi rumah anda:

>Polisi kebakaran asas
          Polisi ini memberikan perlindungan hanya untuk bangunan sahaja dan melindungi kerugian atau kerosakan akibat kebakaran, kilat atau letupan.

> Polisi empunya rumah
         Berbeza dengan polisi kebakaran asas yang hanya melindungi bangunan, polisi ini memberikan perlindungan tambahan termasuk kerugian atau kerosakan akibat banjir, paip pecah dll.

> Polisi isi rumah
         Ini adalah polisi untuk melindungi barang-barang isi rumah anda serta perlindungan kecederaan maut untuk anda sebagai pihak diinsuranskan. Sekiranya anda inginkan perlindungan komprehensif untuk rumah anda serta barang-barang di dalamnya, anda harus membeli polisi empunya rumah dan polisi isi rumah. Sekiranya harta anda masih di bawah pembiayaan, pembiaya mungkin menghendaki anda membeli polisi insurans bertempoh gadai janji berkurangan (mortgage reducing term assurance, MRTA) untuk melindungi kepentingan pembiaya.

Polisi kemalangan diri
         Insurans Kemalangan Diri (KD) ialah polisi insurans tahunan yang menyediakan pampasan sekiranya berlaku kecederaan, hilang upaya atau kematian yang hanya berlaku disebabkan oleh kejadian yang bersifat ganas, tidak sengaja, luaran dan jelas kelihatan. Skop perlindungan dan skala manfaat berbeza-beza di antara syarikat insurans. Anda hendaklah memastikan bahawa anda membeli polisi yang memenuhi keperluan anda. Jenis-jenis perlindungan yang biasanya diberikan di bawah polisi KD ialah:
• Mati akibat kemalangan
• Hilang upaya kekal
• hilang upaya sementara menyeluruh atau separa
• belanja perubatan
• pembedahan pembetulan
• manfaat masuk hospital
• belanja pengebumian
       
            Anda boleh mengambil polisi KD untuk diri anda sendiri atau polisi berkumpulan untuk keluarga anda. Kadangkala majikan mengambil polisi KD untuk pekerja-pekerja mereka dan dalam kes ini bayaran pampasan untuk pekerja adalah atas budi bicara majikan. Anda mungkin tidak dapat mengambil perlindungan KD sekiranya anda terlibat dalam pekerjaan tertentu yang dianggap merbahaya seperti polis, tentera, dan ahli sukan. Sesetengah polisi KD juga menyatakan had umur yang boleh dilindungi.

Polisi perubatan dan kesihatan
           Insurans Perubatan dan Kesihatan (IPK) ialah satu polisi yang melindungi kos rawatan perubatan swasta yang mungkin mahal, seperti kos kemasukan ke hospital dan pembedahan. Polisi insurans ini juga memastikan anda tidak perlu bimbang mengenai kos bagi mendapatka rawatan kecemasan. Selain itu, IPK juga membayar anda sejumlah wang tertentu semasa anda menjalani rawatan Terdapat empat jenis utama polisi IPK:

> Insurans hospital dan pembedahan yang menampung perbelanjaan kemasukan ke hospital dan pembedahan yang ditanggung disebabkan penyakit yang dilindungi di bawah polisi.

> Insurans penyakit yang amat ditakuti, atau penyakit kritikal yang menyediakan pembayaran manfaat secara sekaligus apabila anda didiagnosis menghidapi manamana 36 penyakit yang amat ditakuti atau penyakitpenyakit yang telah ditetapkan.

> Insurans pendapatan akibat hilang upaya yang menyediakan sumber pendapatan yang berterusan apabila anda tidak lagi dapat bekerja akibat sakit atau cedera.

> Insurans pendapatan hospital membayar anda sejumlah wang tertentu secara harian, mingguan atau bulanan, tertakluk kepada had tahunan, sekiranya anda perlu tinggal di hospital kerana penyakit yang dilindungi, tidak sihat atau cedera. Syarikat insurans mungkin menawarkan produk-produk di atas kepada anda secara berasingan atau bergabung seperti dengan insurans hayat. Anda perlu berhati-hati apabila memilih sesuatu produk supaya sesuai dengan keperluan anda. Oleh yang demikian, luangkanlah masa untuk berbincang dengan syarikat insurans atau ejennya tentang polisi IPK yang anda bercadang untuk membeli.

Sumber : Buletin Pengguna

0 komen:

Catat Ulasan