13 Mei 2010

Hari Hak-hak Pengguna Sedunia 2010 – WANG KITA, HAK KITA

PUCHONG, 15 MAC - Setiap tahun pada 15 Mac, pergerakan pengguna di seluruh dunia menyambut Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia bagi memberikan peringatan kepada para pengguna bahawa mereka mempunyai hak-hak pengguna untuk diperjuangkan.

Pada tahun ini, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah mengadakan sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia dengan kerjasama Consumer International dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Sambutan yang diadakan di Pasar Raya Besar Giant Bandar Kinrara ini telah dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob.

Sebelum itu, FOMCA telah mengadakan acara khusus berdasarkan tema sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia tahun ini, iaitu Wang Kita, Hak Kita. Seramai 30 orang pelajar, berusia 5 tahun, 10 tahun dan 15 tahun terlibat dalam aktiviti berbelanja di pasar raya dan kedai di sekitarnya. Hasil daripada perbelanjaan tersebut telah dianalisa oleh Dato’ Paul Selva Raj, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) dan Cik Cathrine Ong, wakil Persatuan Dietitian Malaysia.

Dalam ucapannya, Dato’ Sri Ismail Sabri menekankan kepentingan pengguna mengetahui hak mereka terhadap kewangan. Walaupun wang milik mereka, tetapi seringkali mereka terperangkap dengan perjanjian yang berat sebelah berkaitan dengan urusan kewangan.

Datuk Marimuthu pula menegaskan bahawa pengguna perlu menguruskan kewangan mereka dengan bijak. Beliau juga meminta agar institusi kewangan memberikan perkhidmatan yang adil kepada pengguna.

FOMCA, menurut beliau, akan mengadakan pelbagai aktiviti berkaitan kesedaran dan pendidikan kewangan, khususnya kepada golongan pelajar dan belia.

Turut hadir ialah Datuk Tan Lian Hoe, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd Zain Mohd Dom, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Indrani Thuraisingham, Ketua Pejabat Consumer International Kuala Lumpur dan Encik Tom Herroit, Ketua Pegawai Operasi, GCH Retail (M) Sdn Bhd.

Sumber dari : Berita Harian

0 komen:

Catat Ulasan