10 Mei 2010

Wanita yang bijak





         Memang tidak dapat dinafikan bahawa wanita suka membeli belah, adakah anda juga suka membeli-belah ? Oleh itu, ia menjadi tanggungjawad wanita untuk sebagai seorang pengguna wanita yang bijak.

          Wanita memainkan peranan utama dalam sektor ekonomi. Peranan wanita sebagai pengurus di rumah memberikan mereka peranan yang paling penting untuk menyediakan keperluan asas bagi kehidupan seharian. Golongan wanita mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menentukan pembelian barangan keperluan harian keluarga.

          Sebagai pengguna, kebanyakan wanita terdedah kepada beban tekanan seperti sumber pendapatan yang terhad dan sesetengah mereka adalah merupakan ibu tunggal. Wanita perlu membuat pertimbangan dalam beberapa faktor pada masa yang sama, di antara keperluan, kehendak, kemampuan dan nutrisi. Jika wanita berkenaan adalah wanita bekerjaya, faktor masa turut perlu diambil kira.

          Selain itu, wanita juga mempunyai tanggungjawab menjaga penampilan mereka. Tanggungjawab ini juga merupakan satu tekanan kerana kebiasaannya setiap wanita inginkan penampilan diri yang menarik dan sesuai dengan peredaran masa. Ini boleh menyebabkan mereka memberi tekanan yang berlebihan ke atas diri sendiri.

          Dunia iklan seringkali memaparkan pengguna wanita yang cantik, langsing dan sempurna. Wajah dan tubuh wanita digunakan dalam kebanyakan iklan untuk memujuk pengguna membeli barangan kecantikan yang tertentu. Produk tersebut dikatakan dapat menonjolkan keterampilan diri dan membuatkan golongan wanita sanggup membelanjakan ratusan hingga ribuan ringgit untuk mendapatkan produk tersebut.

          Wanita ditampilkan dalam pelbagai jenis iklan, dari iklan kereta hinggalah ke iklan percutian. Imej wanita yang ditampilkan adalah kurus, muda, cerah kulitnya dan sihat tubuh badan. Kesan dari paparan imej yang sedemikian menyebabkan ramai wanita merasakan mereka kurang sempurna dan ingin menggunakan produk yang diiklankan agar dapat mencapai imej yangdiimpikan. Oleh itu wanita harus mengelakkan diri daripada tarikan iklan tersebut. Ingatlah wanita, kecantikan paras rupa tidaklah secantik kecantikan dalam diri wanita.

0 komen:

Catat Ulasan