17 Mei 2010

Tip Hari Ini - Panduan membeli minyak wangi


             Adakah anda sering menerima promosi minyak wangi terkemuka dengan tawaran harga yang sangat murah? Awas: ia berkemungkinan besar adalah palsu. Bagi pengguna biasa, adalah sukar untuk mengenal pasti dan membezakan minyak wangi yang palsu dengan yang tulen. Kebanyakan minyak wangi palsu mempunyai pembungkusan yang amat menyerupai produk yang tulen; sama ada dari segi kotak luaran hinggalah kepada bentuk botol. Pada hiduan pertama, minyak wangi palsu memberikan bau yang seakan serupa dengan yang tulen tetapi ia akan cepat pudar dan seringkali meninggalkan bau yang masam atau pahit. Yang lebih membimbangkan ialah kandungan bahan yang digunakan dalam pembuatan minyak wangi palsu itu yang berkemungkinan besar boleh membahayakan kesihatan pengguna.

Tip-tip untuk memilih minyak wangi tulen

1. Tempat jualan
Minyak wangi palsu sering dijual di tempat-tempat seperti kaki lima, pasar malam, dan gerai-gerai di tepi jalan. Tempat yang paling baik dan terjamin untuk mendapatkan minyak wangi tulen adalah di kaunter-kaunter runcit eksklusif yang menjual jenama-jenama yang terkenal yang biasanya terdapat di pusat membeli-belah terkemuka.

2. Harga
Minyak wangi tulen secara amnya adalah produk yang mahal, yang biasanya berharga ratusan ringgit untuk satu botol yang kecil. Oleh itu, jikalau terdapat jenama-jenama terkemuka yang dijual dengan harga puluhan ringgit sahaja, maka berkemungkinan besar ia adalah minyak wangi palsu.

3. Pembungkusan
Pembungkusan untuk minyak wangi palsu biasanya adalah lebih kasar dan tidak jelas. Semasa membeli minyak wangi yang biasa anda gunakan, sebaik-baiknya bawa bersama kotak minyak wangi tulen yang lama untuk memeriksa ketepatan ejaan, logo jenama, gambar dan huruf-huruf cetakan halus (fineprint).

4. Kandungan
Ambil perhatian tentang kandungan minyak wangi dengan menelitikan warna dan keadaan fizikal minyak. Ia sepatutnya jernih dan tidak terlalu berminyak.

5. Bau
Minyak wangi tidak sepatutnya berbau masam atau pahit. Anda boleh semburkan sedikit atas serpihan kadbod kecil dan biarkannya selama sekurang-kurangnya setengah jam. Minyak wangi palsu akan semakin pudar baunya berbanding dengan minyak wangi yang tulen.

6. Jaminan penjual
Pastikan penjual memberikan jaminan 100% ketulenan minyak wangi yang dibeli dan (kebiasaannya sijil ketulenan daripada pengeluar akan disertakan bersama) dan juga polisi pulangan (return policy) sekiranya anda tidak berpuas hati dengan produk yang dibeli.

7. Pembelian menerusi internet
Sekiranya anda membeli menerusi internet, perkara pertama yang harus diperhatikan adalah keselamatan proses pembelian yang terpapar pada URL anda (terdapatnya huruf ”s” dalam ”https” dan juga satu ikon mangga kunci dalam pelayar internet anda). Pastikan juga penjual mempunyai alamat dan nombor telefon kedainya dan ketahui juga bagaimana cara untuk membuat pembatalan dan pulangan balik (product refund) sekiranya produk tersebut tidak memuaskan anda.

Sumber: Consumer NZ (New Zealand Consumer Association)

0 komen:

Catat Ulasan