18 Mei 2010

Tip Hari Ini - Panduan membeli insurans I



Bahagian 1  Insurans nyawa
Insurans adalah pemindahan risiko daripada seorang individu seperti anda, atau sebuah organisasi, seperti syarikat anda, kepada syarikat insurans. Anda atau syarikat anda akan dikenali sebagai pemegang polisi. Syarikat insurans akan menerima bayaran daripada anda dalam bentuk premium dan sekiranya anda mengalami sebarang kerugian atau kerosakan, syarikat insurans akan membayar pampasan kepada anda. Anda tidak perlu membeli lebih daripada satu polisi atau pelan untuk melindungi harta anda. Sekiranya anda memiliki lebih daripada satu polisi, anda hanya boleh membuat satu tuntutan jika sebarang kerugian atau kerosakan berlaku. Jumlah yang boleh dibayar akan disumbangkan oleh syarikatsyarikat insurans yang terlibat.

Oleh itu, anda tidak boleh meraih keuntungan daripada polisi insurans am atau pelan takaful. Sekiranya anda mengalami kerugian, syarikat insurans akan membayar pampasan yang setimpal atau anda akan diletakkan dalam keadaan yang sama sebelum berlaku kerugian. Walau bagaimanapun, anda boleh membeli lebih daripada satu polisi untuk melindungi hayat anda. Kontrak insurans adalah atas prinsip penuh percaya mutlak. Oleh itu, anda sebagai pemegang polisi atau pelan hendaklah mendedahkan semua maklumat penting yang diperlukan. Sekiranya anda gagal mendedahkan maklumat berkenaan, polisi atau pelan anda mungkin tidak sah dan anda tidak akan dilindungi ke atas sebarang kerugian atau kerosakan.

Insurans nyawa
Dalam insurans hayat, sekumpulan besar pemegang polisi membayar sejumlah premium ke dalam suatu dana yang diurus oleh syarikat insurans. Apabila seseorang di dalam kumpulan itu ditimpa kesusahan, dia akan diberi sejumlah wang daripada dana tersebut untuk membantu meringankan kesusahannya. Insurans nyawa memberikan perlindungan terhadap risiko seperti kematian, penyakit kritikal, ketidakupayaan anggota badan dan rawatan di hospital. Ia berkait dengan insurans lain seperti insurans kesihatan, insurans berkaitan pelaburan (investment linked), endowmen, dan sebagainya.

Jenis-jenis insurans nyawa asas termasuk:

Insurans bertempoh
Polisi ini menawarkan perlindungan insurans untuk tempoh terhad sahaja. Wang manfaat hanya dibayar setelah kematian atau sekiranya anda mengalami hilang upaya menyeluruh dan kekal semasa dalam tempoh polisi.

Insurans hayat seumur hidup
Polisi ini menawarkan perlindungan sepanjang hayat dan premiumnya dibayar seumur hidup anda. Wang manfaatnya, termasuk apa-apa bonus, akan dibayar setelah kematian atau sekiranya anda mengalami hilang upaya menyeluruh dan kekal.

Insurans berkaitan pelaburan
Premium anda digunakan untuk membeli perlindungan insurans hayat dan unit saham di dalam dana yang diurus oleh syarikat insurans hayat. Harga unit tersebut adalah berasaskan prestasi pelaburan dana yang diuruskan. Manfaat yang dibayar kepada anda atau penama anda bergantung kepada harga unit saham pada masa anda menyerahkan polisi atau apabila anda meninggal dunia.

Insurans endowmen
Polisi ini menggabungkan perlindungan dan tabungan. Wang manfaatnya akan dibayar pada akhir tempoh yang ditetapkan berikutan kematian atau jika anda mengalami hilang upaya menyeluruh dan kekal. Sekiranya anda masih hidup apabila polisi matang, anda akan mendapat wang berkenaan; jika sebaliknya, wang itu akan diberi kepada penama anda.

Pelan anuiti hayat
Anuiti ialah satu siri bayaran yang dibuat kepada anda sehingga anda meninggal dunia. Terdapat dua jenis anuiti iaitu anuiti serta-merta dan anuiti tertunda.

Perlindungan / Rider tambahan
‘Rider’ ialah perlindungan tambahan yang dilampirkan bersama pelan insurans asas seperti endowmen atau seumur hidup. Ia memberikan anda fleksibiliti untuk memenuhi keperluan individu anda, seperti perlindungan terhadap kemalangan, hilang upaya atau masuk hospital. Anda diperlukan membayar premium tambahan.

Insurans bertempoh gadai janji berkurangan
(Mortgage Reducing Term Assurance, MRTA)
Perlindungan insurans yang meliputi pembayaran balik pinjaman pembelian hartanah tertunggak kepada institusi kewangan sekiranya berlaku kematian, hilang upaya atau sakit kritikal peminjam. Pada isu yang akan datang kita akan melihat pula jenisjenis insurans am dan juga pelan-pelan takaful yang terdapat di Malaysia.

Sumber : Buletin Pengguna

1 komen:

Tanpa Nama berkata...

great explanation...
tak semua org sedar mcm mana pentingnya insuran pada kita. Ramai org kita ingat ins tu just buang duit je, diaorang x tau lagi sebenarnya ins tu simpanan n boleh dapat semula dengan return sekali. Kalau apa2 jadi kat pembayar pun ins akan FREE utk org yg di insuran kan tu. Dengan min RM100 boleh dapat coverage sampai RM1,000,000 pun ramai yg tak nak..

bukan tu je, gi klinik pun free...

Sapa2 yg nak tau lebih lanjut boleh call, whatsapp, wechat, emel, sms saya. saya buat free quoation sekali.

ahmad
013-2425430
camunsif@yahoo.com

Catat Ulasan