10 Mei 2010

Tip Hari Ini - Tip berjimat cermat


Sebelum saya berkongsii dengan anda beberapa tip penjimatan, jom kita menonton video dibawah dahulu.





Salah satu cara pengurusan kewangan keluarga yang paling berkesan ialah dengan berjimat cermat. Pengguna yang bijak harus mengamalkan amalan berjimat cermat dalam kehidupan harian. Berikut adalah beberapa tip untuk berjimat cermat dalam pengurusan kewangan keluarga untuk dijadikan panduan kita bersama:

Tip 1: Sediakan bajet kewangan keluarga

Ukurlah baju di badan sendiri. Elakkan berbelanja di luar kemampuan. Melalui bajet kewangan, perbelanjaan dapat dikawal. Utamakan yang utama bagi keperluan keluarga, elakkan pembelian barangan tidak penting.
Tip 2: Merancang kewangan untuk masa depan
Bak kata perpatah Melayu, "sediakan payung sebelum hujan" oleh itu,  simpanan tetap atau tabungan adalah sangat penting untuk kegunaan masa depan atau semasa kecemasan. Selain itu, simpanan dalam skim takaful pula memberikan manfaat perlindungan yang tidak kita dapati dengan simpanan biasa. Bagi mereka yang berminat dengan amanah saham, pilihlah yang terbaik untuk membuat pelaburan.
Tip 3: Jimatkan penggunaan air, elektrik dan gas

Setiap ahli keluarga perlu dididik untuk menghargai nikmat ini dan elakkan daripada pembaziran. Tutup peralatan elektrik di ruang yang tidak digunakan. Berpada-pada menggunakan penghawadingin udara, begitu juga air di bilik mandi ketika mandi atau mencuci.
Tip 4: Lakukan perbandingan harga dahulu

Amalan ini adalah penting kerana kadang kala terdapat perbezaan harga di antara kedai, lain tempat lain harga walaupun barangan yang dijual adalah sama dari segi jenis dan kualitinya. Amalan ini membantu kita untuk berjimat.

Tip 5: Beli secara pukal

Membeli secara pukal adalah jauh lebih murah berbanding jika kita membeli secara sedikit demi sedikit. Begitu juga dengan saiznya. Belilah barangan yang selalu diperlukan sama ada untuk stok seminggu atau sebulan. Contohnya, susu, sos cili tomato, telur, dan sebagainya. Ini dapat menjimatkan wang dan masa.
Tip 6: Elakkan membawa anak-anak ketika membeli belah

Ini merupakan satu langkah yang baik, kerana kehadiran anak-anak biasanya mendorong kita untuk membeli barangan yang tidak sepatutnya dibeli. Seelok-eloknya senaraikan barang-barang yang ingin dibeli terlebih dahulu sebelum keluar membeli belah. Cara ini dapat menjimatkan masa dan juga menggelakkan tabiat boros berbelanja.
Tip 7: Kurangkan pembelian barangan berjenama
Dalam situasi ekonomi yang merosot dan berlakunya inflasi, kita tidak perlu terlalu berkira tentang jenama barangan yang ingin dibeli. Jika barangan tersebut mempunyai kualiti yang baik setanding dengan barangan berjenamav dan dapat mengantikan fungsi sesuatu barang, kita sebagai pengguna harus bijak memilihnya.

Tip 8: Tanam sendiri sayur-sayuran
Serai, kunyit, daun pandan dan daun kari mudah untuk ditanam. Bagi yang tidak mempunyai tanah dan ruang masih boleh menanamnya di dalam pasu. Begitu juga sayuran seperti sawi, kangkung, cili malahan pisang juga tidak susah untuk ditanam. Mengamalkan cara ini akan dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga dari perlu membeli sayur-sayuran yang telah ditanam seterusnya dapat mengisi masa lapang bersama keluarga.
Tip 9: Masak sendiri

Kurangkan makan di luar. Ini lebih jimat, terutama bagi keluarga yang ramai. Air tangan ibu atau isteri akan mengikat kasih sayang antara keluarga serta lebih terjaga kebersihannya. Secara tak langsung keluarga yang sihat akan mengurangkan kos perubatan yang tidak kurang mahalnya.


Tip 10: Bawa bekal ke pejabat atau sekolah

Jangan malu untuk membawa bekal ke pejabat. Malahan anak-anak juga perlu diajar membawa bekal ke sekolah. Dengan cara ini kita dapat berjimat paling kurang RM3 sehari. Duit yang dijimatkan ini boleh dijadikan simpanan untuk masa hadapan dan kecemasan.
Tip 11: Elakkan memandu kenderaan sendiri

Walaupun harga minyak telah turun namun amalan berjimat akan sentiasa menguntungkan kita. Gunakan kenderaan awam seperti bas, komuter atau LRT sebagai alternatif. Selain itu, amalan berkongsi kereta dengan rakan sepejabat juga sangat menjimatkan.


Diharapkan agar panduan di atas dapat memberikan sedikit sebanyak informasi yang berguna kepada kita sebagai seorang pengguna dalam menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu kini seterusnya menjadikan kita sebagai pengguna yang bijak.

0 komen:

Catat Ulasan