Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) telah mengadakan Kempen Kesedaran Hak-Hak Pengguna Pengangkutan Awam pada 18 Januari 2010. Langkah ini amat wajar sekali dilaku memandangkan pengguna pengangkutan awam sering mengadu bahawa perkhidmatan yang diberikan amat tidak memuaskan.
Kerajaan sendiri mengakui bahawa mereka sering menerima aduan daripada pengguna tentang kesalahan yang dilakukan oleh pengusaha pengangkutan awam, khususnya teksi, seperti tidak menggunakan meter, tidak memberikan resit, mengubah suai meter dan berkelakuan membahayakan ketika memandu, iaitu merokok, memandu melebihi had laju dan menggunakan telefon bimbit.
Masalah yang dihadapi oleh pengguna terhadap perkhidmatan teksi ini telah lama berlaku, dan disedari oleh kerajaan sendiri. Namun tiada langkah proaktif yang diambil, sehingga pengguna secara berterusan `dipermainkan’ oleh pemandu teksi ini.
Pengguna perlu menggunakan kuasanya mereka untuk tidak menggunakan perkhidmatan pemandu teksi yang enggan menggunakan meter. Begitu juga mereka perlu membuat aduan kepada LPKP sekiranya ada pemandu teksi yang didapati melakukan kesalahan.
Namun jika hanya mengharapkan pengguna sahaja membuat aduan, tanpa adanya penguatkuasa yang tegas dilakukan, tidak bermakna juga. Tindakan pemantauan secara berkala dan rambang perlu dilakukan dari semasa ke semasa. Selagi masalah ini berlaku, maka selagi itulah penguatkuasa tidak boleh berhenti daripada membuat pemantauan.
Mulai 1 Januari 2010, semua teksi dikehendaki mengeluarkan resit kepada penumpang. Jika ada yang gagal berbuat sedemikian, gunakan kuasa sebagai pengguna, iaitu membuat aduan kepada LPKP, dan buat salinan kepada Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) agar pemantauan dibuat terhadap aduan yang dibuat oleh pengguna.
Sumber : Konsumer kini
0 komen:
Catat Ulasan