03 Jun 2010

Tip Hari Ini - Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Malaysia

Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Malaysia (TTPR) menyediakan saluran yang mudah, cepat dan murah untuk menyelesaikan masalah pembeli rumah yang ingin menuntut pampasan daripada pemaju perumahan.

Tribunal mempunyai bidang kuasa untuk mendengar tuntutan yang tidak melebihi RM50,000.00. Walaupun begitu, Tribunal mempunyai bidang kuasa untuk mendengar tuntutan yang melebihi RM50,000.00 sekiranya:

a) Pihak yang terlibat bersetuju menandatangani perjanjian secara bertulis bahawa Tribunal mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan tuntutan mereka;

b) Penuntut melepaskan tuntutannya yang melebihi RM50,000.00 untuk membawanya di bawah bidang kuasa Tribunal.

Bagaimana membuat tuntutan

1) Pembeli rumah hendaklah membuat tuntutan dalam jangka masa 12 bulan daripada:

a) Tarikh Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance) dikeluarkan;

b) Tarikh luput Tempoh Liabiliti Kecacatan (Defects Liability Period) seperti yang dinyatakan di dalam perjanjian jual beli; atau

c) Tarikh tamat perjanjian jual beli oleh mana-mana pihak dan penamatan tersebut berlaku sebelum tarikh Perakuan Siap dan Pematuhan dikeluarkan.

2) Pembeli rumah boleh membuat tuntutan di Tribunal dengan mengisi Borang 1 (4 salinan). Lampirkan bersama-sama Pernyataan Tuntutan dan bayaran sebanyak RM10. Jika terdapat dua nama di dalam perjanjian jual beli, maka kedua-duanya mestilah meletakkan nama mereka, nombor kad pengenalan dan tandatangan di dalam borang tuntutan (Borang 1). Kedua-dua pihak perlu hadir untuk perbicaraan dan sekiranya tidak dapat hadir, buat surat memberi kuasa kepada wakil untuk hadir bagi pihaknya.

3) Setelah Borang 1 difailkan, penuntut mestilah menghantar satu salinan kepada pemaju secara peribadi sama ada dengan tangan ataupun secara surat berdaftar.

0 komen:

Catat Ulasan