09 Jun 2010

Semasa - Pengeluar perlu memberi perhatian serius terhadap kualiti barangan & perkhidmatan

PENGELUAR PERLU BERI PERHATIAN SERIUS TERHADAP KUALITI BARANGAN DAN PERKHIDMATAN

Trend aduan yang diterima di NCCC sejak kebelakangan ini jelas menunjukkan tentang wujudnya kelemahan terhadap isu kualiti barangan dan perkhidmatan di negara kita.

Keadaan ini amat membimbangkan kerana sepatutnya kualiti barangan dan perkhidmatan yang menjadi lambang kemegahan pengeluar dan penyedia perkhidmatan tidak lagi dititikberatkan. Hanya pembeli yang perlu bimbang kerana bakal membeli barangan yang tidak berkualiti ataupun telah menerima barangan yang rosak.

Boleh dikatakan hampir semua jenis barangan yang terdapat di pasaran menyumbang kepada masalah kurang berkualiti tidak kira barangan kecil, murah, besar ataupun mahal. Cuma pengguna risau apabila barangan berkenaan melibatkan perbelanjaan yang tinggi kerana potensinya tinggi untuk penjual tidak memulangkan ataupun menukarkan barang berkenaan.

Barangan seperti kereta, komputer riba, kamera, telefon bimbit, perabot, barangan elektrik dan lebih banyak lagi boleh disenaraikan merupakan jenis barang yang diadukan oleh pengguna. Manakala aduan tentang perkhidmatan yang banyak diterima adalah perkhidmatan selepas jualan kereta, perkhidmatan telekomunikasi, perkhidmatan pengangkutan awam dan sebagainya.

Walaupun terdapat undang-undang yang berkaitan kualiti barangan dan perkhidmatan, namun kesedaran dan komitmen pengeluar, pengedar dan penjual masih tidak memuaskan.  Ini adalah kerana penguatkuasaan dan tindakan yang diambil berdasarkan undang-undang yang sedia agak lemah.

Sekiranya sesuatu tindakan undang-undang dilakukan ataupun penalti dikenakan ke atas pengeluar setiap kali laporan dibuat terhadap barangan yang cacat dan pengesahan mandatori dikenakan untuk memastikan barangan yang dijual di pasaran telah melepasi pemeriksaan yang dibuat oleh badan piawaian. 

Hak pengguna untuk mendapatkan ganti rugi ataupun penukaran barangan harus diberikan keutamaan dan tidak harus dipertikaikan sekiranya kerosakan ataupun masalah terhadap barangan disebabkan oleh kualiti barangan ataupun perkhidmatan yang tidak memuaskan. Pengeluar perlu memberikan perhatian yang serius terhadap jaminan kualiti barangan dan perkhidmatan, bukan sekadar memberikan perhatian kepada iklan dan promosi barangan sahaja.

Sumber : www.konsumerkini.net.my

0 komen:

Catat Ulasan