15 Jun 2010

Tip hari Ini - Tip mengenali skim penipuan

TIP MENGENALI SKIM PENIPUAN
Minimumkan risiko kehilangan wang simpanan anda dengan mengetahui pelbagai jenis pelaburan tidak sah di sisi undang-undang yang terdapat dalam masyarakat kini. Berikut ialah beberapa ciri dan janji yang umumnya ada dalam sesuatu skim penipuan:

  • Untuk setiap pelaburan yang dibuat, anda menerima pulangan yang tinggi, umpamanya, 20 hingga 30% sebulan bagi setiap bulan. Anda tidak pernah ditunjukkan produk yang kononnya berkualiti yang perlu anda jual, sebaliknya dibayar mengikut bilangan orang yang anda latih atau mendaftar diri.
  • Anda diberitahu bahawa tawaran itu hanya untuk tempoh terhad dan anda MESTI membelinya sekarang.
  • Anda diminta memasukkan wang ke dalam bank asing dalam mata wang asing untuk mendapatkan suatu hadiah tetapi anda tidak ingat pun pernah masuk sebarang pertandingan atau cabutan bertuah.
  • Anda menerima panggilan telefon menawarkan peluang-peluang pelaburan.
  • Anda menerima e-mel yang meminta nombor akaun bank anda kerana mereka mahu menghantar wang kepada anda, biasanya berjumlah berjuta-juta dolar Amerika, dari beberapa negara asing.
  • Anda ditawarkan satu produk pelaburan yang menjamin keuntungan besar tanpa sebarang risiko kewangan.
  • Anda diminta melabur dalam satu skim pelaburan. Alamat dan maklumat perhubungan syarikat pelaburan yang menawarkan keuntungan besar kepada anda itu terletak di sebuah negara asing yang anda tidak dapat pastikan di mana kedudukan sebenar syarikat itu.
  • Anda ditawarkan "hadiah percuma" untuk mendapatkan sesuatu kemudian, contohnya, sejumlah wang yang besar.
  • Anda ditawarkan peluang pekerjaan dengan gaji besar tanpa memerlukan pengalaman dan kelayakan akademi yang berkenaan.
  • Anda didatangi oleh seseorang yang mengaku sebagai ejen bagi syarikat dagangan asing (umpamanya yang beribu pejabat di Macau, Bahamas, Kepulauan British Virgin, dan sebagainya) untuk berdagang dalam indeks asing (contohnya, indeks Hang Seng), komoditi (contohnya kopi) atau mata wang asing (contohnya AS$, Yen dan sebagainya) tetapi anda perlu mendepositkan sejumlah wang dalam mata wang asing sebagai "margin", sebelum sesuatu urus niaga boleh dilakukan.
  • Sukar untuk menemui sebarang maklumat mengenai lesen atau kewujudan syarikat itu dalam laman web mana-mana pihak pengawal selia atau pihak berkuasa yang mengawal institusi perbankan dan pelaburan.
Sumber : www.konsumerkini.net.my

0 komen:

Catat Ulasan