11 Jun 2010

Semasa - Memorandum kepada Perdana Menteri bagi menyokong perlaksanaan lesen runcit barang kawalan

MEMORANDUM KEPADA PERDANA MENTERI BAGI MENYOKONG PERLAKSANAAN LESEN RUNCIT BARANG KAWALAN
10 Jun 2010

Y.A.B. DATO' SRI HAJI MOHD. NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK

MEMORANDUM MENYOKONG LANGKAH KERAJAAN MELAKSANAKAN LESEN RUNCIT BARANG KAWALAN

Merujuk kepada perkara di atas, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), dengan sokongan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) ingin menyatakan sokongan pihak kami terhadap keputusan kerajaan untuk melaksanakan semula lesen runcit barang-barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Keputusan kerajaan ini amat wajar sekali bagi memastikan tidak wujudnya ketirisan terhadap bekalan barang kawalan yang diberikan subsidi oleh kerajaan kepada pihak-pihak yang tidak berkenaan. Langkah ini juga bertujuan untuk mengawal rantaian bekalan barang kawalan harga benar-benar mencapai objektifnya untuk kegunaan isi rumah dan mengelak daripada bekalan tersebut dijual untuk tujuan komersial, disorok atau diseludup.

Terdapat sebanyak 80,000 peruncit di dalam negara ini yang tidak dikawal dari segi bekalan barang kawalan. Ini boleh mewujudkan ketirisan kepada barang kawalan kerana sesiapa sahaja boleh mendapatkan bekalan daripada pemborong.

Langkah mewajibkan lesen jualan barang kawalan bukannya sesuatu yang luar biasa bagi peruncit. Pada masa ini pun kerajaan telah menetapkan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan, bahawa setiap peruncit yang ingin menjual barang kawalan pada musim perayaan perlu mendapatkan lesen terlebih dahulu. Peraturan ini setakat ini tidak mendapat sebarang bantahan daripada peruncit, walaupun ia telah diperkenalkan semenjak tahun 2000.

Sehubungan itu, pihak kami berharap Kerajaan akan bertegas untuk meneruskan peraturan ini bagi kepentingan para pengguna, khususnya krisis bekalan gula yang meruncing pada masa ini di beberapa buah negeri.

Ancaman yang dibuat oleh pihak peruncit, terutamanya melalui Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia merupakan tindakan tidak bertanggungjawab. Pihak kami percaya dengan jaminan daripada 60,000 peruncit lain yang tidak bergabung di bawah Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit tidak turut serta dalam tindakan memboikot, di samping jaminan daripada Angkasa untuk menggerakkan koperasi-koperasi gabungannya serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membantu mengedar barang kawalan ini, menyebabkan peruncit yang terlibat dengan ancaman memboikot ini akan mengalami kerugian bagi diri mereka sendiri.

Kami juga akan menggesa seluruh pengguna, serta ahli gabungan NCWO, CUEPACS dan MBM supaya memboikot peruncit yang tidak mahu menjual barang kawalan tersebut.

Sekian, terima kasih.

DATUK MARIMUTHU NADASON
Presiden FOMCA

Disokong oleh:
PUAN FARIDAH BTE KHALID
Timbalan Presiden
Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO)

HAJI OMAR BIN OSMAN
Presiden
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)

ENCIK MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE
Presiden
Majlis Belia Malaysia (MBM)

Sumber : www.konsumerkini.net.my

0 komen:

Catat Ulasan