11 Jun 2010

Mesej daripada presiden FOMCA sempena hari alam sekitar sedunia

DAHAGAKAN MINYAK DAN KOS SOSIALNYA
“Sudah tiba masanya untuk melihat semula kepada teknologi dan risiko yang terlibat dalam mendapatkan minyak yang menyebabkan ketagihan kepada masyarakat kita.”

Oleh Datuk Marimuthu Nadason
Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)


Apakah yang kita perlukan untuk menukar cara hidup kita yang boleh memudaratkan alam sekitar? Kita seolah-olah telah mengabadikan bencana alam sekitar dan sosial tanpa menyedari bahawa kita juga merupakan penyelesaian kepada bencana-bencana tersebut.

Manusia merupakan salah satu spesis daripada 5 juta hingga 100 juta spesis yang terdapat di dunia ini. Malangnya manusia merupakan spesis tunggal yang menyebabkan kerosakan yang paling teruk kepada alam sekitar dan juga kepada diri  mereka sendiri. Selain itu, setiap tahun jumlah manusia kian bertambah, sedangkan dalam masa yang sama banyak haiwan dan tumbuhan telah mengalami kepupusan. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa terdapat 17,291 spesis yang sedang diancam oleh kepupusan.
Konsep pembangunan yang dilaksanakan telah memaksa spesis lain terpaksa berusaha keras untuk mengharungi kehidupan. Penggunaan tanah telah memberikan kesan yang teruk kepada hutan. Manakala kedahagaan kita terhadap bahan api fosil telah membawa kita menjelajahi lautan dalam. Aktiviti-aktiviti ini telah membeirkan kesan yang memudaratkan ekosistem dan biodiversiti.

Kepelbagaian Spesis, Satu Bumi, Satu Masa Depan ialah tema untuk Hari Alam Sekitar Dunia 2010, yang memberikan penekanan kepada kepentingan biodiversiti. PBB juga mengisytiharkan tahun 2010 sebagai Tahun Biodiversiti Antarabangsa.
Sebagai Presiden kepada persatuan pengguna yang terbesar di negara ini, saya ingin menekankan peri pentingnya pengguna sebagai pihak yang berkepentingan dalam usaha untuk merealisasikan satu masa depan bagi semua spesis di dunia ini. Pengguna merupakan masalah dan penyelesaian kepada masalah alam sekitar dan sosial.

Krisis yang sedang melanda dunia pada masa ini adalah perubahan iklim dan pemanasan global. Punca utama pemanasan global adalah penggunaan bahan api fosil dan sumber asli yang tidak lestari. Kita mempunyai nafsu yang besar menggunakan bahan api fosil. Nafsu ini menyebabkan kita lupa tentang kesannya kepada alam sekitar dan sosial. Kita mencari sebab untuk hidup dengan risiko berkaitan dengan alam sekitar dan sosial untuk bahan api fosil dan tidak bersedia untuk melaburkan wang yang banyak untuk tenaga yang boleh diperbaharui seperti solar dan angin. Kenyataan di atas dinyatakan oleh Sharon Begley, penulis “How Quickly We Forget” dalam majalah Newsweek, edisi Mei 17 2010.

Dahaga Untuk Minyak

Saya sedang mengikuti berita tentang malapetaka `Deepwater Horizon’ di Teluk Mexico. Walaupun syarikat BP mendapat banyak sokongan dan bantuan daripada pihak-pihak yang berkepentingan, tetapi perluasan penggalian minyak laut dalam oleh pentadbiran Obama dan kegagalan Perbincangan Iklim COP 15 di Copenhagen pada Disember 2009 telah membayangkan krisis sosial dan alam sekitar yang bakal berlaku. Malapetaka Deepwater Horizon dijangka akan menambahkan kesan yang lebih teruk kepada krisis ini.

Pada tahun 2009, Presiden Obama mengumumkan eksplorasi penggalian minyak laut dalam iaitu di tempat Deepwater Horizon telah menggali perigi minyak yang paling dalam dalam sejarah manusia, yang kedalamannya mencecah 10,683 meter. Walau bagaimanapun, pelantar minyak bernilai US$560 juta ini meletup dan membunuh 11 orang pada 22 April, ketika sambutan Hari Bumi Sedunia. Pelantar minyak tersebut tenggelam dan menyebabkan tumpahan minyak yang paling teruk dalam sejarah Amerika Syarikat.

Sebanyak 70.8 juta liter sehingga 112 juta liter telah tumpah pada hari tersebut dan ia berterusan sehingga hari ini. Kesannya kepada alam sekitar, terutamanya pulau-pulau yang berdekatan dan kawasan paya bakau adalah sukar dibayangkan.

Pada 25 Mei, 2000 ton minyak mentah telah tumpah ke dalam laut Selat Singapura selepas sebuah kapal tangki minyak Malaysia, MT Bunga Kelana 3 berlanggar dengan sebuah kapal pengangkut. Arus laut telah membawa tumpahan minyak tersebut sehingga ke Kota Timggi dan menjejaskan kehidupan 1,400 orang nelayan.

Kedua-dua kejadian tersebut mempunyai persamaan yang tertentu. Pertama, kedua-duanya berlaku disebabkan oleh kecuaian manusia. Keduanya, kejadian-kejadian ini memberi kesan yang memudaratkan alam sekitar di sekelilingnya.

Kesan-Kesan Ketumpahan Minyak


Kesan kepada Biodiversiti dan Alam Sekitar

Kesan tumpahan minyak kepada alam sekitar sangat teruk. Kejadian Exxon Valdez pada 1989 di Prince William Sound telah membunuh 200,000 hidupan liar dengan serta-merta selepas berlakunya tumpahan 40.9 juta liter minyak mentah. Tumpahan minyak itu meliputi kawasan seluas 2,100km pesisiran pantai (pesisiran pantai barat di Semenanjung Malaysia yang merupakan laluan sibuk untuk kapal-kapal adalah sepanjang 805 km.) dan 28,000 km2 lautan. Bayangkan kesan-kesan kepada pantai barat Semenanjung Malaysia dan pantai timur Sumatra jika kejadian Exxon Valdez berlaku di kawasan Selat Melaka!!

Malapetaka Deepwater Horizon telah menggantikan kejadian Exxon Valdez sebagai tumpahan minyak yang paling teruk dalam sejarah Amerika Syarikat dan dunia (yang bukan disebabkan oleh peperangan).

Dalam kejadian tumpahan minyak yang berlaku di Selat Singapura, bola tar dan minyak mencemarkan pantai di Kota Tinggi sepanjang 16km. Pantai-pantai yang terdedah kepada minyak tersebut melepaskan bau yang kurang menyenangkan dan menggugat kesihatan penduduk di kawasan itu. 

Kesan tumpahan minyak kepada alam sekitar telah dikaji dan didokumentasikan dengan baik. Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia mendapati bahawa minyak yang terdapat dalam alam sekitar terdedah atau dimakan oleh hidupan liar akan menyebabkan keracunan minyak. Minyak-minyak akan melitupi tisu badan, membunuh telur dan anak-anak ikan, serta mencemarkan pantai di tempat penyu bertelur dan menyebabkan kematian burung laut.

Pakar juga menyatakan bahawa jika tumpahan minyak sampai ke kawasan paya bakau, minyak tersebut akan meliputi akar udara (pnuematophore) dan menyebabkan pokok paya bakau mati. Dengan merujuk kepada laporan IPIEACA yang diterbitkan pada 1993, menyatakan bahawa kebanyakan hutan paya bakau di Malaysia merupakan kawasan perlindungan dan habitat bagi hidupan liar yang terancam seperti buaya air masin dan monyet Proboscis. Selain itu, hutan paya bakau juga merupakan kawasan pemuliharaan semula jadi kepada pembiakan ikan-ikan.

Selepas tsunami Asia yang menimpa pada tahun 2004, ia jelas menunjukkan berlaku kekurangan kawasan hutan paya bakau untuk menghalang tsunami tersebut dan telah menyebabkan kerosakan yang teruk sekali di Banda Acheh. Pengajaran ini telah membawa kepada penanaman semula di kawasan paya bakau Asia termasuk Malaysia.

Apa yang menyedihkan ialah hutan paya bakau menjadi mangsa kepada tumpahan minyak. Dengan kehilangan hutan paya bakau ini, habitat semula jadi untuk anak-anak ikan turut musnah dan menjejaskan stok ikan.

Menurut Jabatan Perikanan Malaysia (DoF), jumlah tangkapan ikan di Malaysia pada tahun 2008 adalah 1.7 juta tan metrik, yang bernilai USD$1.5 bilion. Daripada jumlah tersebut, 79.5% daripada jumlah tangkapan ikan tersebut adalah ikan liar manakala akuakultur hanya membekalkan 20.5% (DoF). Kehilangan kawasan paya bakau ini disebabkan oleh pembangunan dan pencemaran yang turut memudaratkan industri perikanan di Malaysia.

Kesan kepada Ekonomi

Mengikut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (Food and Agriculture Organization, FAO), kapasiti keluaran perikanan dunia untuk manusia adalah 144 juta tan setahun. FAO melaporkan bahawa dua pertiga daripada sumber hasil laut di dunia telah dieksploitasikan secara melampau, sehingga peringkat kehabisan. Jadi, potensi untuk mengembangkan dan memperluaskan tangkapan hasil laut telah berkurangan dan hampir tidak wujud lagi. Status sumber hasil laut masa kini memerlukan pengurusan yang lebih baik dan lengkap bagi memastikan sumber ini adalah mencukupi (FAO, 2009)’. Sekiranya keperluan manusia terhadap sumber hasil laut bertambah 3 juta tan setiap tahun, maka industri perikanan tidak akan dapat menampung keperluan manusia pada tahun 2018.

Kejadian-kejadian seperti Deepwater Harizon dan tahap pencemaran yang tidak dipantau akan mempercepatkan kehabisan sumber protein untuk negara.

Di Teluk Mexico, kejadian Deepwater Horizon bakal menyebabkan kerugian sebanyak USD$234 bilion untuk industri ikan, minyak, perlancongan dan perkapalan.

Di Pengerang pula, banyak kerugian dialami disebabkan oleh pencemaran tumpahan minyak. Media tempatan melaporkan bahawa nelayan di Pengerang mengalami kerugian sebanyak RM80 hingga RM1000 sehari. Hotel-hotel di kawasan perlancongan tersebut juga telah mengalami kerugian akibat daripada pembatalan bilik-bilik yang telah ditempah.  Kos ekonomi mungkin lebih tinggi sekiranya kita mengambil kira kesan tumpahan minyak kepada stok ikan, kehidupan marin dan marin biodiversiti.

Kesan kepada Sosial 

Kajian yang dilakukan oleh Arizona State University melaporkan bahawa konflik berlaku sejak kejadian 1989 masih berlarutan hingga kini. Ia menyebabkan nelayan tempatan mengalami penurunan hasil tangkapan ikan dan hidupan liar di kawasan Prince William sound. Apabila industri ikan terjejas di kawasan itu, gejala sosial seperti kadar jenayah dan bunuh diri turut meningkat.

Bagi situasi di Pengerang dan Kota Tinggi, adakah PETRONAS akan bertanggungjawab seperti BP di Amerika Syarikat atau mereka telah memperoleh pengetahuan yang penting daripada Exxon Valdez untuk menangani tumpahan minyak di Malaysia atau perairan di Asia Tenggara?

Peristiwa Tumpahan Minyak Di Malaysia: Respon dan Tindakan (IPIEACA, 2009)

Pada tahun 1992, Nagasaki Spirit telah berlanggar dengan kapal kontainer di Selat Melaka yang menyebabkan tumpahan sebanyak 12,000 tan minyak mentah ke dalam laut dan terbakar. Satu lagi kejadian berlaku pada tahun 1997, iaitu kapal tangki minyak EVOIKOS menumpahkan minyak luar pantai Singapura dan sepanjang 40km pantai di kawasan Johor, Malaysia tercemar.

Adakah satu penilaian terhadap keadaan alam sekitar dilakukan pada masa kini untuk memastikan tahap kesihatan alam sekitar di kawasan tersebut?

Sekiranya tumpahan minyak berlaku di Malaysia, badan-badan yang bertanggungjawab akan menghubungi Jabatan Marin, Maritime Rescue Coordination Center (MRCC) dan juga Petroleum Industry of Malaysia Mutual Aid Group (PIMMAG) dan diketuai oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pada tahun 1975, satu Pelan Kecemasan Kebangasaan (National Contingency Plan) telah ditubuhkan untuk menangani tumpahan minyak di Selat Melaka. Pelan tersebut disebar ke Pantai Timur, Sabah dan Sarawak pada tahun 2000. Bagi tumpaha minyak yang besar, koordinasi akan dilakukan oleh National Oil Spill Control Committee (NOSCC) diketuai oleh ketua pengarah JAS dan membabitkan wakil daripada beberapa agensi kerajaan dan syarikat minyak.

Tier 1 merupakan pelan kecemasan untuk tumpahan minyak yang kecil dan dipantau oleh JAS. Jika tumpahan minyak berlaku di luar kawalan perabuhan dan tempatan, maka pelan Tier 2 akan digunakan.

Pihak-pihak yang terlibat di tempat kejadian:
- Penyelaras kawasan.
- Penyelaras membersih pantai
- Komander kawasan
- Pihak Berkuasa Tempatan
- Pakar tempatan daripada pelbagai disiplin akademi.
Bagi peralatan pula, Jabatan Marin mempunyai 13 catamarans pelbagai kegunaan bersiap-sedia di seluruh Malaysia dengan kerjasama daripada Kementerian Pengangkutan Jepun melalui OSPAR (Oil Spill Preparedness and Response in Asia) skima. Syarikat-syarikat minyak di Malaysia juga telah menubuhkan sebuah pertubuhan dikenali sebagai Petroleum Industry of Malaysia Mutual Aid Group (PIMMAG) untuk menangani tumpahan minyak Tier 2.

Konvensyen, Serantau dan Perjanjian Dwilateral 


Malaysia telah  meratifikasikan dan melaksanakan beberapa konvensyen dan keselamatan, antaranya MARPOL 73/78, Annex V. Perjanjian-perjanjian dwilateral dan serantau seperti berikut:
• Standard Operating Procedure for Joint Oil Spill Combat in the Straits of Malacca   and Singapore.
• Sulawesi Sea Oil Spill Network Response Plan- sub-regional plan for the Straits of Lombok, Makassar and Sulawesi Sea – Indonesia, Malaysia and Philippines.
• Standard Operating Procedure for Joint Oil Spill Combat in the South China Sea  including Brunei Bay – Malaysia and Brunei.
• The ASEAN – OSRAP (Association of South East Asian Nations Oil Spill Response Action Plan) with the other ASEAN countries and with contribution from Japan.
• Regional Programme for the Prevention and Management of Marine Pollution in  the East Asian Seas with the ASEAN countries, Cambodia, China, PDR of Korea, Rep. of Korea and Vietnam.
Di Malaysia, terdapat 37 pelantar minyak yang beroperasi dan mempunyai Selat Melaka sebagai laluan kapal yang paling sibuk di dunia (ECTPA, 2010). Dengan laluan kapal yang sibuk seperti ini, tumpahan minyak yang berlaku di Laut Cina Selatan dan Selat Melaka adalah perkara biasa dan kadangkala tidak dilaporkan.

Kerajaan Malaysia seolah-olah memikul tanggungjawab untuk melaksanakan tugas membersih dan membayar kepada penduduk tempatan yang menolong membersihkan minyak di pantai Pengerang.  Ia juga dilaporkan bahawa perbincangan di antara pemilik kapal Bunga Kelana 3, syarikat insurans dan penduduk tempatan telah diadakan untuk membincangkan tentang ganti rugi.

Ganti rugi untuk penduduk tempatan yang terjejas dengan tumpahan minyak harus dilaksanakan dalam keadaan yang telus dan adil. Laporan mengenai kajian tumpah minyak tidak harus diklasifikasikan. Dengan ini, tindakan yang wajar dan tepat dapat dilakukan oleh pihak berkenaan sekiranya tumpahan minyak berlaku lagi pada masa hadapan.

Syarikat minyak dan gas harus menerajui usaha dalam membangunkan sumber tenaga yang boleh diperbaharui (BUKAN nuklear) untuk memastikan kebaikan sosial dan ekonomi lestari.

Masa Depan Untuk Keperluan Tenaga di Malaysia.


Terdapat spekulasi bahawa bahan api fosil akan kehabisan dalam masa 100 tahun. Di Malaysia, kita masih bergantung kepada bahan api fosil untuk menjana 85% keperluan elektrik kita dan pengangkutan. Negara China telah mengambil inisiatif untuk mengembangkan tenaga yang boleh diperbaharui dan teknologi hijau.

Dengan pengenalan dan perlaksanaan Model Ekonomi yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan perkapita rakyat Malaysia pada tahun 2020, kita MESTI menukar arah kepada sumber tenaga yang boleh DIPERBAHARUI.

Pengajaran dan pengalaman daripada malapetaka alam sekitar yang lalu telah mengajar bahawa kebergantungan kepada bahan api fosil tidak dapat merealisasikan matlamat pembangunan lestari. Oleh itu rakyat Malaysia perlu memahami kesan penggunaan mereka terhadap alam sekitar, ekonomi dan sosial.



Sumber : www.konsumerkini.net.my

0 komen:

Catat Ulasan