24 Jun 2010

Tip Hari Ini - Soalan lazim tentang pajak gada



APAKAH ITU PAJAK GADAI?
Fungsi kedai-kedai pajak gadai ialah memberi pinjaman wang tunai ke atas barang gadaian bagi tempoh enam bulan dengan faedah 2% sebulan.

ADAKAH AKTIVITI PAJAK GADAI DI BAWAH UNDANG-UNDANG YANG SAH?
Akta Pajak Gadai 1972 merupakan peraturan yang diwujudkan untuk menyeragamkan undang-undang mengenai pajak gadai di seluruh negara. Sebelum itu terdapat Enakmen-Enakmen yang berbeza-beza mengawal aktiviti pajak gadai di tiap-tiap negeri di Semenanjung Malaysia.
APAKAH BARANG-BARANG YANG BOLEH DIGADAI?
Barang kemas menjadi pilihan utama serta jam tangan berjenama dan juga pen berjenama. Selain daripada itu, barangan berharga yang lain contohnya komputer riba atau telefon bimbit tidak boleh dipajak.

APAKAH TAHAP PINJAMAN MAKSIMUM YANG BOLEH DIPEROLEHI DARIPADA PAJAK GADAI?
Pinjaman tidak melebihi RM10,000.00 yang dibenarkan oleh Akta Pemegang Pajak Gadai 1972.

ADAKAH TERDAPAT SEKATAN TERHADAP WAKTU PERNIAGAAN DAN SEKATAN TERHADAP PENERIMAAN BARANGAN?

Akta Pajak Gadai 1972 menjelaskan dengan jelas tentang sekatan perniagaan iaitu:
• Tidak boleh menerima apa-apa barang antara pukul 6 petang dengan 8 pagi. Tiada boleh mengadakan urusan perniagaan pada waktu tersebut.
• Tidak boleh berurusan dengan sesiapa yang berumur dibawah 18 tahun.
• Tidak boleh berurusan dengan sesiapa yang berada dalam keadaan mabuk atau tidak sempurna akal.
• Tidak boleh menyimpan apa-apa barangan yang mempunyai tanda-tanda hakmilik kerajaan ataupun kerajaan negeri.
• Apa-apa barangan disyaki “dicuri daripada pemilik asalnya”

APAKAH CARA UNTUK MENGADAI DI PAJAK GADAI?
Pemajak gadai dikehendaki membawa barangan gadaian tersebut untuk mendapatkan pinjaman. Pemegang pajak gadai haruslah mencatatkan butir-butir transaksi pemajakgadaian dalam buku dan mengeluarkan surat pajak gadai.

Contohnya, pemajak gadai ingin meminjam RM150.00 dengan menggadai seutas cincin emas dengan kadar faedah 2% sebulan dalam tempoh 6 bulan. Jumlah yang dipinjam RM150.00 + faedah 2% (2x6bulan = RM18) = RM168.00

BERAPAKAH KADAR FAEDAH YANG AKAN DICAJ?
Menurut Akta Pajak Gadai 1972, faedah yang dibenarkan ialah 2% atau 24% setahun. Kadar faedah yang dikenakan melebihi daripada jumlah tersebut adalah merupakan satu kesalahan.

TEMPOH UNTUK MENEBUS BARANG GADAIAN?
Tempoh gadaian ialah selama enam bulan, tetapi gadaian juga boleh ditebus pada bila-bila masa. Sekiranya tidak dapat menebus gadaian sebelum tamat tempoh, pemajak gadai boleh memberitahu kepada pemegang pajak gadai untuk melanjutkan tempoh masa tidak kurang daripada tiga bulan. Setiap butir lanjutan hendaklah dibuat dalam buku pemegang pajak gadai dan surat pajak gadai.

SEKIRANYA TEMPOH GADAIAN TELAH TAMAT, ADAKAH BARANG GADAIAN MENJADI HAKMILIK PEMEGANG PAJAK GADAI?
Sekiranya pemajak gadai gagal menebus sebelum tamat tempoh, barangan gadaian boleh dilupuskan. Pinjaman yang kurang daripada RM200.00 akan menjadi milik pemegang pajak gadai secara automatik. Jikalau pinjamannya melebihi RM200, ia hanya boleh dilupuskan melalui lelongan awam oleh pelelong berlesen. Pemegang pajak gadai juga boleh membuat tawaran untuk membeli barang gadaian tersebut.

APAKAH PERLINDUNGAN AKTA PEMEGANG PAJAK GADAI 1972 SEKIRANYA GAGAL MENEBUS GADAIAN SEBELUM TAMAT TEMPOH?
Wang lebihan bukanlah hak mutlak pemajak gadai. Pemegang pajak gadai dikehendaki memberitahu pemajak gadai mengenai jualan itu melalui surat berdaftar dalam tempoh tujuh hari dari had lelongan dan menghantar penyata menunjukan lebihan berkenan.

Jika pemajak gadai tidak menuntut lebihan berkenaan dalam tempoh empat bulan, pemegang pajak gadai berkenaan dikehendaki membayar wang lebihan tersebut kepada Akauntan Negara (Kerajaan) dalam masa 14 hari. Pemajak gadai masih boleh menuntut lebihan itu daripada Perbendaharaan.

ADAKAH PEMAJAK GADAI MEMPUNYAI HAK UNTUK MEMERIKSA BUKU JUALAN?
Dalam tempoh empat bulan selepas pelelongan, pemegang pajak gadai hendaklah membenarkan pemegang surat pajak gadai itu memeriksa catatan mengenai jualan itu dalam buku pemegang pajak gadai.

SEKIRANYA RESIT PAJAK GADAI HILANG ATAU BINASA, APAKAH HAK PEMAJAK GADAI?
Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 memperuntukkan salinan surat pajak gadai diberikan secara percuma dengan tidak berlengah. Walau bagaimanapun, perkara yang biasa yang dipraktikkan oleh pemegang pajak gadai ialah meminta pemajak gadai untuk membuat laporan polis dan seterusnya mendapatkan surat sumpah daripada Pesuruhjaya Sumpah.

ADAKAH BARANGAN GADAIAN DIBERIKAN PERLINDUNGAN OLEH PEMEGANG PAJAK GADAI? 

Pemegang Pajak Gadai mempunyai tanggungjawab untuk menjaga barang-barang gadaian itu dengan cermat dan bersungguh-sungguh sebagaimana menjaga harta bendanya. Pmegang Pajak Gadai hendaklah bertanggungjawab bagi kehilangan atau kerosakan barang gadaian Jikalau berlaku rompakan, kebakaran atau malapetaka ke atas kedai pajak gadai sehingga menyebabkan barang gadaian hilang atau rosak. Nilai gadaian itu hendaklah bagi maksud pampasan kepada pemajak gadai itu dikira sebagai satu perempat lebih daripada jumlah pinjaman.

Pemegang Pajak Gadai hanya perlu membayar jumlah pinjaman + 25% lagi kepada pemajak gadai sebagai pampasan. Nilai pampasan tersebut adalah tidak memadai dan juga tidak adil tetapi inilah di peruntukkan dalam Akta Pajak Gadai 1972

APAKAH KELEMAHAN PAJAK GADAI?
- Kadar faedah tinggi iaitu 2% sebulan atau 24% setahun, jauh melebihi kadar pasaran

- Barang kemas yang digadai, sama ada cincin, gelang atau rantai biasanya tidak ditimbang atau diukur. Banyak aduan diterima di Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di mana barang kemas yang digadai itu lebih ringgan atau pendek apabila ditebus. Terdapat aduan yang peniaga pajak gadai sudah kikis sedikit emas daripada barang itu.
Cadangan: Oleh kerana itu, pemajak seharusnya meminta pemegang pajak untuk merekodkan barangan yang digadai contohnya sebentuk cincin, seutas rantai dan yang paling penting menimbang berat dan mengukur panjang rantai emas tersebut dan meminta butir-butir tersebut dituliskan diatas resit sebelum memberikan barangan tersebut.

- Andai peminjam gagal menebus dalam tempoh yang ditetapkan, pemegang pajak gadai boleh memiliki nilai gadaian yang kurang daripada RM200, tanpa melantik pelelong berlesen. Akta Pajak Gadai 1972 juga tidak memperuntukkan barang gadaian dipamerkan sewaktu lelongan awam dilakukan.
Cadangan: Peruntukan mempamerkan barangan gadaian adalah perlu dijadikan keperluan mandatori.

- Terdapat aduan daripada orang ramai berkenan barangan gadaian yang telah dilelong dan punggutan wang lebihan juga tidak diberikan notis seperti yang diperuntukan oleh Akta Pajak Gadai 1972. Ini merupakan satu penganiyaan terhadap pemajak gadai.

- Jika berlaku rompakan, kebakaran atau malapetaka ke atas kedai pajak gadai sehingga menyebabkan barang gadaian hilang atau rosak, pemegang pajak gadai hanya perlu membayar jumlah cagaran yang ditambah 25% lagi kepada pemajak gadai sebagai pampasan. Itu tidak memadai dan tidak adil tetapi inilah yang diperuntukkan dalam akta yang sedia ada.

- APAKAH PERBEZAAN MEMAJAK EMAS DI PAJAK GADAI DAN BANK?
Memajak di Institusi perbankan ada kebaikanya, jikalau berlaku malapetaka yang tidak diingini iaitu rompakan ataupun kebakaran, nilai barangan kemas tersebut akan dipulangkan oleh pihak bank berbanding dengan kedai pajak gadai hanya bertanggungjawab memulangakan lebihan pinjaman sebanyak 25% sahaja.

Sumber : Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

0 komen:

Catat Ulasan