05 Jun 2010

Tip Hari Ini - Elemen utama dalam perlindungan pengguna dalam negara



ELEMEN UTAMA DALAM PERLINDUNGAN PENGGUNA DALAM NEGARA

1) Dasar Pengguna Negara

Dasar Pengguna Negara bertujuan menggalakkan keseimbangan hak dan tanggungjawab antara pengguna, pembekal/pengilang dan kerajaan dalam melaksanakan peranan masing-masing, menggalakkan penggunaan lestari (sustainable consumption) dalam kalangan pengguna dan pembekal/pengilang ke arah memelihara kedaulatan negara serta prinsip agama untuk mencapai wawasan negara dalam menjamin kebajikan pengguna.

Fokus Dasar Pengguna Negara merujuk kepada usaha-usaha tiga pihak, iaitu melalui perlindungan kendiri (self protection) dalam kalangan pembekal/pengilang dan penglibatan kerajaan melalui peningkatan tahap perlindungan pengguna yang berkesan. Ini boleh dicapai dengan mewujudkan suasana yang harmoni untuk menggalakkan keseimbangan hak dan tanggungjawab antara pengguna, pembekal/pengilang dan kerajaan dengan memantapkan bidang perundangan, amalan perdagangan, pendidikan, kesihatan, kemudahan awam dan bidang-bidang berkaitan yang lain.

2) Undang-undang Perlindungan Pengguna

Di Malaysia, terdapat 29 undang-undang yang berkaitan dengan perlindungan pengguna:

KEMPEN KONSUMER KEBANGSAAN 2008-2012

1) Akta Perlindungan Pengguna 1999
2) Akta Kawalan Harga 1946
3) Akta Kawalan Bekalan 1961
4) Akta Kawalan Padi dan Beras 1994
5) Akta Pengangkutan Jalan 1987
6) Akta Standard Malaysia 1996
7) Akta Makanan 1983
8) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 1988
9) Akta Ubat (Iklan dan Jualan) 1956
10) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994
11) Akta Kilang dan Jentera 1967
12) Akta Racun Makhluk Perosak 1974
13) Ordinan Binatang 1953
14) Akta Jualan Dadah 1952
15) Akta Racun 1952
16) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1994
17) Akta Perihal Dagangan 1972
18) Akta Pendaftaran Farmasi 1951
19) Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1971
20) Akta Sewa Beli 1967
21) Akta Insurans 1996
22) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951
23) Akta Pemegang Pajak Gadai 1972
24) Akta Jualan Langsung 1993
25) Akta Timbang dan Sukat 1972
26) Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966
27) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989
28) Akta Bank Islam 1983
29) Akta Takaful 1984


3) Pendidikan Pengguna

Salah satu daripada hak pengguna ialah hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna. Pendidikan pengguna merupakan saluran bagi pengguna agar dapat memahami perubahan ekonomi, sikap diri sendiri, matlamat nilai serta cara membuat pilihan dan keputusan berdasarkan maklumat yang lengkap. Melalui pendidikan pengguna, pengguna akan lebih mengetahui undangundang yang melindungi hak mereka dan tindakan yang boleh diambil untuk mendapatkan ganti rugi. Pendidikan pengguna mendidik dan melatih pengguna untuk mendapatkan barang atau perkhidmatan yang berkualiti serta mendorong mereka untuk mengubah sikap daripada pasif kepada aktif, berani bersuara dan bertindak untuk mempertahankan haknya berlandaskan pengetahuan, keadilan, penyertaan dan cintanya terhadap masyarakat serta alam sekitar.

Di Malaysia, dalam usaha untuk membawa pendidikan pengguna ke sekolah, komponen pendidikan pengguna telah diserapkan dalam sukatan pelajaran di sekolah seperti Kemahiran Hidup, Perdagangan, Ekonomi, Sivik dan sebagainya. Terdapat juga kelab pengguna yang ditubuhkan di sekolah-sekolah untuk memberi pendedahan pendidikan pengguna kepada para pelajar.

Di peringkat universiti, undang-undang konsumer dan pendidikan pengguna ditawarkan sebagai subjek. Aktiviti pendidikan pengguna yang tidak formal juga turut diadakan seperti seminar, bengkel dan penerbitan oleh persatuan pengguna untuk mendidik masyarakat tentang kepenggunaan.

4) Penguatkuasaan

Dalam usaha melindungi hak dan kebajikan pengguna, kerajaan memainkan peranan penting untuk memperkukuhkan undangundang dan seterusnya mengetatkan tahap penguatkuasaan undang-undang tersebut agar dapat dilaksanakan secara berkesan. Undang-undang sahaja tidak cukup untuk melindungi pengguna sekiranya tidak ada kesedaran tentang kewujudannya dalam kalangan pengguna dan usaha untuk menguatkuasakannya. Oleh yang demikian, persatuan pengguna juga turut memainkan peranan penting untuk turut bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan perlindungan pengguna sentiasa terjamin.

0 komen:

Catat Ulasan