29 Jun 2010

Semasa - Keselamatan kopi Magic Power


US Food and Drug, FDA mengesa pengguna supaya memberhentikan penggunaan kopi segera yang dilabelkan sebagai penambah seksual.

FDA menyatakan bahawa "Kopi Magic Power" mengandungi bahan kimia iaitu hydroxythiohomosildenafil yang akan mengakibatkan penurunan tekanan darah yang bahaya apabila berinteraksi dengan ubat-ubatan tertentu seperti nitrates.

Hydroxythiohomosildenafil menyerupai salah satu bahan aktif dalam viagra iaitu sildenafil, sildenafil mendatang kesan negatif seperti penurunan tekanan darah yang mendadak, pening kepala dan sakit kepala. Viagra hanya diberi kepada pesakit melalui preskripsi doktor.
Di laman web, kopi segera ini dilabel sebagai produk yang hanya mengandungi ramuan semula jadi. Jadi kehadiran hydroxythiohomosildenafil mungkin menghasilkan kesan sampingan yang serius kepada sesetengah pengguna.

Pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati tentang kopi segera yang dijual melalui laman web, jika produk berjenama atau kesan sampingan seperti yang tersenarai di atas ditemui, melaporkan kepada pihak berkuasa Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di talian 03-7883 5400 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.

27 Jun 2010

Semasa - Status keselamatan produk pelangsingan badan



Kumpulan Pembela Kesihatan Kanada memberi amaran mengenai produk pelangsingan badan yang disyaki boleh memudaratkan kesihatan.

Tiga produk pelangsingan badan ini adalah Comecoo, Zhongcaoyao dan Qingzhi Santain Shou. Produk pelangsingan badan ini berasal dari Hong Kong dan mengandungi sibutramine yang memerlukan preskripsi doktor.

Sibutramine adalah formulasi dari Barat untuk penekanan nafsu makan pada seseorang bagi tujuan pelangsingan badan dan memerlukan kawalan perubatan yang tegas. Kesan sampingan termasuk penambahan tekanan darah dan degupan jantung. Orang yang mempunyai masalah jantung tidak dinasihatkan mengambil sibutramine.

Selain itu, Comecoo dan Zhongcaoyao juga dikesani kehadiran Phenolphthalein. Phenolphthalein adalah ubat yang digunakan untuk sembelit tetapi didapati ia akan mengakibatkan kanser dan penggunaannya sudah diharamkan. Kesan sampingan termasuk penurunan tekanan darah, kegatalan kulit dan pendarahan usus gastro.

Di samping itu, US Food and Drug Administration, FDA mengesan kehadiran plumbum yang tinggi dalam ubat asma Vita Breath. Vita Breath dihasilkan oleh American Herbal Labs of California. Kehadiran plumbum yang melebihi 10,000 kali dari tahap yang yang dibenarkan dikesan dalam produk ini.

Kanak-kanak mudah terdedah kepada bahaya plumbum. Pendedahan plumbum yang berlebihan akan mengakibatkan kecederaan ginjal dan otak, penurunan berat badan, insomnia, pening kepala, kelemahan badan dan gangguan sistem pembiakan seperti keguguran.

Pengguna dinasihatkan supaya memeriksa produk kesihatan yang sedia ada, jika produk berjenama atau kesan sampingan seperti yang tersenarai di atas ditemui, melaporkan kepada pihak berkuasa Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di talian 03-7883 5400 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.

25 Jun 2010

Jangan membeli sampah

JANGAN MEMBELI SAMPAH
Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam telah lama diwujudkan, namun kita masih melihat agensi yang ditubuhkan di bawah Akta ini melihat kepada hujung masalah. Berjaya atau tidak agensi yang terletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ini merupakan tanggungjawab pucuk pimpinan mereka.

Sebagai langkah pertama, industri-industri boleh meminimumkan pembungkusan dan menggunakan pembungkusan berasaskan kertas.  Terdapat juga peralatan elektronik yang tidak menggunakan polistirena sebagai bahan pembungkusan.  Ia digantikan dengan bahan berasaskan kertas yang direka untuk menepati jenis produk. Penggunaan lestari seperti ini sangat digalakkan, terutamanya bahan pembungkusan (berasaskan kertas) jika dihasilkan daripada kertas yang dikitar semula.

Jika pengguna membeli barangan yang mempunyai banyak pembungkusan, sebenarnya mereka membeli sampah. Kebanyakan syarikat yang maju melakukan banyak penyelidikan untuk mengurangkan pembungkusan. Ini bukan sahaja mengurangkan sampah, tetapi juga mengurangkan penggunaan sumber bahan mentah serta kos operasi syarikat.

Dalam isu penggunaan bekas plastik, industri-industri perlu beralih kepada bahan-bahan yang mudah dikitar semula, dan seterusnya kepada botol berasaskan kaca.  Pusat pungutan (apabila disediakan) mestilah mencukupi untuk memudahkan pengguna menghantar bahan-bahan ini untuk pungutan semula. Persoalan yang lebih besar adalah mewujudkan kemudahan pusat-pusat pungutan semula dan kesedaran masyarakat umum terhadap isu ini.

Terdapat juga produk-produk yang mempraktikkan tanggungjawab sebagai penghasil (Extended Producers Responsibility), iaitu industri mengambil semula model-model lama dan memberi diskaun untuk model yang baru.

Bolehkah kita berbuat demikian dalam pasaran tempatan? Mengapa tidak?

Apabila industri mengambil model-model lama, mereka perlu melihatnya sebagai kemasukan semula bahan mentah ke dalam kitar pembuatan. Penstabilan aktiviti sebegini akan mengambil masa yang lama dan lebih baik jika dimulakan sekarang sebelum ia menjadi mandatori.

Sektor industri juga perlu melakukan Penilaian Kitar Hayat (Life Cycle Assessment - LCA) untuk meningkatkan rekaan produk bagi mencapai tahap “proses hijau”. Langkah ini akan mendedahkan pengurusan bahan mentah dan mengurangkan penghasilan sisa buangan. LCA juga menggalakkan penggunaan bahan-bahan yang boleh dikitar semula dan mesra alam sebelum, semasa dan selepas produksi.

Pada masa yang sama, pengguna memainkan peranan yang penting untuk mengalakkan produk-produk mesra alam.  Pelabelan, pengiktirafan dan penguatkuasaan yang cekap diperlukan untuk mengelakkan berlaku sebarang penyelewengan terhadap usaha ini. Kerjasama penuh daripada semua pihak-pihak berkepentingan diperlukan untuk melaksanakan kepenggunaan lestari yang berkesan.

Kini, terdapat kesedaran dalam kitar semula. Namun sekadar itu sahaja. Konsep 3R (Reduce, Reuse, Recycle – Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula), menggariskan kitar semula sebagai langkah yang terakhir. Pertamanya, kita perlu mengurangkan penggunaan bahan-bahan yang tidak boleh diguna semula, kemudiannya mengurangkan bahan yang tidak boleh di kitar semula. Langkah terakhir adalah mengitar semula. Kita masih kurang berpengetahuan dalam isu kepengunaan lestari dan mempraktikkannya setiap hari.

Praktikkanlah prinsip 3R untuk memastikan dunia yang lebih baik untuk generasi yang akan datang.

Sumber : Pesatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)

24 Jun 2010

Tip Hari Ini - Soalan lazim tentang pajak gada



APAKAH ITU PAJAK GADAI?
Fungsi kedai-kedai pajak gadai ialah memberi pinjaman wang tunai ke atas barang gadaian bagi tempoh enam bulan dengan faedah 2% sebulan.

ADAKAH AKTIVITI PAJAK GADAI DI BAWAH UNDANG-UNDANG YANG SAH?
Akta Pajak Gadai 1972 merupakan peraturan yang diwujudkan untuk menyeragamkan undang-undang mengenai pajak gadai di seluruh negara. Sebelum itu terdapat Enakmen-Enakmen yang berbeza-beza mengawal aktiviti pajak gadai di tiap-tiap negeri di Semenanjung Malaysia.
APAKAH BARANG-BARANG YANG BOLEH DIGADAI?
Barang kemas menjadi pilihan utama serta jam tangan berjenama dan juga pen berjenama. Selain daripada itu, barangan berharga yang lain contohnya komputer riba atau telefon bimbit tidak boleh dipajak.

APAKAH TAHAP PINJAMAN MAKSIMUM YANG BOLEH DIPEROLEHI DARIPADA PAJAK GADAI?
Pinjaman tidak melebihi RM10,000.00 yang dibenarkan oleh Akta Pemegang Pajak Gadai 1972.

ADAKAH TERDAPAT SEKATAN TERHADAP WAKTU PERNIAGAAN DAN SEKATAN TERHADAP PENERIMAAN BARANGAN?

Akta Pajak Gadai 1972 menjelaskan dengan jelas tentang sekatan perniagaan iaitu:
• Tidak boleh menerima apa-apa barang antara pukul 6 petang dengan 8 pagi. Tiada boleh mengadakan urusan perniagaan pada waktu tersebut.
• Tidak boleh berurusan dengan sesiapa yang berumur dibawah 18 tahun.
• Tidak boleh berurusan dengan sesiapa yang berada dalam keadaan mabuk atau tidak sempurna akal.
• Tidak boleh menyimpan apa-apa barangan yang mempunyai tanda-tanda hakmilik kerajaan ataupun kerajaan negeri.
• Apa-apa barangan disyaki “dicuri daripada pemilik asalnya”

APAKAH CARA UNTUK MENGADAI DI PAJAK GADAI?
Pemajak gadai dikehendaki membawa barangan gadaian tersebut untuk mendapatkan pinjaman. Pemegang pajak gadai haruslah mencatatkan butir-butir transaksi pemajakgadaian dalam buku dan mengeluarkan surat pajak gadai.

Contohnya, pemajak gadai ingin meminjam RM150.00 dengan menggadai seutas cincin emas dengan kadar faedah 2% sebulan dalam tempoh 6 bulan. Jumlah yang dipinjam RM150.00 + faedah 2% (2x6bulan = RM18) = RM168.00

BERAPAKAH KADAR FAEDAH YANG AKAN DICAJ?
Menurut Akta Pajak Gadai 1972, faedah yang dibenarkan ialah 2% atau 24% setahun. Kadar faedah yang dikenakan melebihi daripada jumlah tersebut adalah merupakan satu kesalahan.

TEMPOH UNTUK MENEBUS BARANG GADAIAN?
Tempoh gadaian ialah selama enam bulan, tetapi gadaian juga boleh ditebus pada bila-bila masa. Sekiranya tidak dapat menebus gadaian sebelum tamat tempoh, pemajak gadai boleh memberitahu kepada pemegang pajak gadai untuk melanjutkan tempoh masa tidak kurang daripada tiga bulan. Setiap butir lanjutan hendaklah dibuat dalam buku pemegang pajak gadai dan surat pajak gadai.

SEKIRANYA TEMPOH GADAIAN TELAH TAMAT, ADAKAH BARANG GADAIAN MENJADI HAKMILIK PEMEGANG PAJAK GADAI?
Sekiranya pemajak gadai gagal menebus sebelum tamat tempoh, barangan gadaian boleh dilupuskan. Pinjaman yang kurang daripada RM200.00 akan menjadi milik pemegang pajak gadai secara automatik. Jikalau pinjamannya melebihi RM200, ia hanya boleh dilupuskan melalui lelongan awam oleh pelelong berlesen. Pemegang pajak gadai juga boleh membuat tawaran untuk membeli barang gadaian tersebut.

APAKAH PERLINDUNGAN AKTA PEMEGANG PAJAK GADAI 1972 SEKIRANYA GAGAL MENEBUS GADAIAN SEBELUM TAMAT TEMPOH?
Wang lebihan bukanlah hak mutlak pemajak gadai. Pemegang pajak gadai dikehendaki memberitahu pemajak gadai mengenai jualan itu melalui surat berdaftar dalam tempoh tujuh hari dari had lelongan dan menghantar penyata menunjukan lebihan berkenan.

Jika pemajak gadai tidak menuntut lebihan berkenaan dalam tempoh empat bulan, pemegang pajak gadai berkenaan dikehendaki membayar wang lebihan tersebut kepada Akauntan Negara (Kerajaan) dalam masa 14 hari. Pemajak gadai masih boleh menuntut lebihan itu daripada Perbendaharaan.

ADAKAH PEMAJAK GADAI MEMPUNYAI HAK UNTUK MEMERIKSA BUKU JUALAN?
Dalam tempoh empat bulan selepas pelelongan, pemegang pajak gadai hendaklah membenarkan pemegang surat pajak gadai itu memeriksa catatan mengenai jualan itu dalam buku pemegang pajak gadai.

SEKIRANYA RESIT PAJAK GADAI HILANG ATAU BINASA, APAKAH HAK PEMAJAK GADAI?
Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 memperuntukkan salinan surat pajak gadai diberikan secara percuma dengan tidak berlengah. Walau bagaimanapun, perkara yang biasa yang dipraktikkan oleh pemegang pajak gadai ialah meminta pemajak gadai untuk membuat laporan polis dan seterusnya mendapatkan surat sumpah daripada Pesuruhjaya Sumpah.

ADAKAH BARANGAN GADAIAN DIBERIKAN PERLINDUNGAN OLEH PEMEGANG PAJAK GADAI? 

Pemegang Pajak Gadai mempunyai tanggungjawab untuk menjaga barang-barang gadaian itu dengan cermat dan bersungguh-sungguh sebagaimana menjaga harta bendanya. Pmegang Pajak Gadai hendaklah bertanggungjawab bagi kehilangan atau kerosakan barang gadaian Jikalau berlaku rompakan, kebakaran atau malapetaka ke atas kedai pajak gadai sehingga menyebabkan barang gadaian hilang atau rosak. Nilai gadaian itu hendaklah bagi maksud pampasan kepada pemajak gadai itu dikira sebagai satu perempat lebih daripada jumlah pinjaman.

Pemegang Pajak Gadai hanya perlu membayar jumlah pinjaman + 25% lagi kepada pemajak gadai sebagai pampasan. Nilai pampasan tersebut adalah tidak memadai dan juga tidak adil tetapi inilah di peruntukkan dalam Akta Pajak Gadai 1972

APAKAH KELEMAHAN PAJAK GADAI?
- Kadar faedah tinggi iaitu 2% sebulan atau 24% setahun, jauh melebihi kadar pasaran

- Barang kemas yang digadai, sama ada cincin, gelang atau rantai biasanya tidak ditimbang atau diukur. Banyak aduan diterima di Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di mana barang kemas yang digadai itu lebih ringgan atau pendek apabila ditebus. Terdapat aduan yang peniaga pajak gadai sudah kikis sedikit emas daripada barang itu.
Cadangan: Oleh kerana itu, pemajak seharusnya meminta pemegang pajak untuk merekodkan barangan yang digadai contohnya sebentuk cincin, seutas rantai dan yang paling penting menimbang berat dan mengukur panjang rantai emas tersebut dan meminta butir-butir tersebut dituliskan diatas resit sebelum memberikan barangan tersebut.

- Andai peminjam gagal menebus dalam tempoh yang ditetapkan, pemegang pajak gadai boleh memiliki nilai gadaian yang kurang daripada RM200, tanpa melantik pelelong berlesen. Akta Pajak Gadai 1972 juga tidak memperuntukkan barang gadaian dipamerkan sewaktu lelongan awam dilakukan.
Cadangan: Peruntukan mempamerkan barangan gadaian adalah perlu dijadikan keperluan mandatori.

- Terdapat aduan daripada orang ramai berkenan barangan gadaian yang telah dilelong dan punggutan wang lebihan juga tidak diberikan notis seperti yang diperuntukan oleh Akta Pajak Gadai 1972. Ini merupakan satu penganiyaan terhadap pemajak gadai.

- Jika berlaku rompakan, kebakaran atau malapetaka ke atas kedai pajak gadai sehingga menyebabkan barang gadaian hilang atau rosak, pemegang pajak gadai hanya perlu membayar jumlah cagaran yang ditambah 25% lagi kepada pemajak gadai sebagai pampasan. Itu tidak memadai dan tidak adil tetapi inilah yang diperuntukkan dalam akta yang sedia ada.

- APAKAH PERBEZAAN MEMAJAK EMAS DI PAJAK GADAI DAN BANK?
Memajak di Institusi perbankan ada kebaikanya, jikalau berlaku malapetaka yang tidak diingini iaitu rompakan ataupun kebakaran, nilai barangan kemas tersebut akan dipulangkan oleh pihak bank berbanding dengan kedai pajak gadai hanya bertanggungjawab memulangakan lebihan pinjaman sebanyak 25% sahaja.

Sumber : Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

20 Jun 2010

Tip Hari Ini - Tip mengelakkan daripada mendedahkan maklumat semasa pembelian secara talian

TIP MENGELAK DARIPADA MENDEDAHKAN MAKLUMAT PERIBADI SEMASA PEMBELIAN SECARA ATAS TALIAN 

1.      Pastikan kita mempunyai ilmu serta maklumat secukupnya berkenaan selok-belok perdagangan di internet (e-niaga).

2.     Gunakan kaedah carian nama laman web tersebut di Google atau Yahoo. Jika hasil carian anda menunjukkan banyak pengguna yang tidak berpuas hati dengan peniaga atas talian tersebut, mungkin anda perlu lebih berhati-hati.

3.     Pastikan laman atau blog peniaga tersebut ada menyatakan alamat dan nombor telefon sebenar perniagaan mereka. Melakukan siasatan awal secara sendiri adalah lebih baik untuk memastikan maklumat tersebut benar dan boleh dipercayai.

4.     Anda lihat di ruang alamat di browser internet anda, huruf ‘s' di https://, alamat tersebut merujuk kepada transaksi yang selamat dan boleh diyakini. Lihat juga logo ‘mangga' ( di bahagian bawah, kanan browser anda (di sebelah ruang alamat untuk Internet Explorer versi 7). Ini menunjukkan transaksi anda mempunyai enkripsi. Untuk memastikan anda berada di laman web yang sah dan bukan laman web yang ditiru, klik kanan di mana-mana di laman tersebut dan pilih properties. Anda boleh melihat alamat dan maklumat sebenar laman tersebut jika laman tersebut mempunyai enkripsi. Siasat dan dapatkan ilmu kepenggunaan dari masa ke semasa.

5.     Usah terpedaya dengan SMS yang meminta anda memasukkan nombor akaun bank setelah menyatakan anda pemenang cabutan bertuah, pelanggan bertuah atau mendapat hadiah-hadiah lumayan dan di luar jangkaan nilainya dan wang hadiah akan dimasukkan ke dalam akaun anda.

6.     Awas serta berhati-hatilah! Buat pemeriksaan lanjut sebelum anda tertipu, jangan telalu ghairah untuk mendapat untung ataupun menjadi kaya dan terus memberikan nombor akaun, nama, alamat atau segala maklumat yang diminta kepada pihak yang tidak dikenali.

Sumber : www.konsumerkini.net.my

Tip Hari Ini - Tip menyimpan makanan dengan selamat

TIP UNTUK MENYIMPAN MAKANAN DENGAN SELAMAT

Pengenalan
Jika makanan tidak disimpan dengan selamat, ia akan menjadi tempat untuk bakteria membiak dan perubahan kimia akan berlaku. Cara menyimpan makanan yang betul adalah penting kerana:

  • Untuk memastikan makanan berada dalam keadaan yang selamat sehingga dimakan.
  • Untuk mengekalkan rupa dan rasa makanan tersebut.
  • Untuk kesedapan makanan tersebut.
  • Untuk mengekalkan khasiat makanan tersebut.
Makanan perlu disimpan pada suhu yang betul, persekitaran yang bersih dan dimakan sebelum tarikh luput.
Fakta penting
  • Menyimpan dengan betul akan membantu untuk meminimakan makanan menjadi basi, tercemar dan membazir.
  • Makanan yang telah dimasak boleh menjadi tercemar walaupun bercampur dengan sedikit sahaja bahan mentah.
  • Meyimpan dalam peti sejuk adalah cara yang mudah dan selamat untuk menyimpan makanan bagi tempoh masa yang singkat.
  • Jangan basuh sayur-sayuran hijau sebelum disimpan di dalam peti sejuk.
  • Simpan mentega atau marjerin berasingan dari ikan dan buah-buahan kerana ia boleh berubah dengan bau tersebut.
  • Jangan bekukan kembali makanan selepas dinyahbekukan.
  • Simpan telur dan yang berasaskan telur berasingan dari bawang kerana ia boleh berubah dengan bau bawang.
  • Makanan untuk bayi mesti segar dan buang lebihan makanan tersebut (ia tidak sepatutnya disimpan langsung).
  • Baca label pada pembungkus/bekas makanan untuk cara menyimpan sebelum dan selepas membukanya.
Bagaimana untuk menyimpan makanan dengan betul?
Ada beberapa cara untuk menyimpan makanan:
  • Penyejukan
  • Pembekuan
  • Penyimpanan pada suhu bilik
Cara untuk menyimpan makanan bergantung kepada jenis makanan.
Bagaimana cara makanan disimpan di dalam peti sejuk?
Peraturan untuk menyimpan makanan di dalam peti sejuk:
Anda perlu:
  • Simpan semua makanan yang telah dimasak di dalam bekas yang bertutup, beg plastik yang bertutup, di bungkus dengan plastik nipis atau kertas aluminium. ( Ini adalah untuk mengurangkan pengeringan, pencemaran, perubahan bau dan tumpah)
  • Simpan makanan yang telah dimasak di bahagian atas dan bahagian yang berbeza dengan yang mentah (Ini disebabkan oleh kerana bahan mentah seperti daging mentah dan sayur-sayuran biasanya mengandungi bakteria yang merbahaya yang boleh mencemar makanan yang telah dimasak dan menyebabkan keracunan dan basi)
  • Simpan bahan mentah yang mungkin akan tumpah di dalam bekas. Letakkan di bahagian bawah peti sejuk (Ini adalah untuk menggelakkan tumpahan dari bahan mentah boleh mencemar makanan yang telah dimasak)
  • Simpan telur dan makanan yang berasaskan telur di bahagian yang lebih sejuk. (Ini adalah kerana suhu yang lebih rendah melembapkan pembiakan bakteria)
  • Bungkus sayur-sayuran dengan bekas plastik yang berlubang. (Kenapa?Ini akan mengurangkan kehilangan air dan untuk peredaran udara)
  • Letak sayur-sayuran dan buah-buahan di bahagian bawah peti sejuk. (Ia bertujuan untuk mengelakkan daripada rosak oleh pembekuan)
Anda jangan:
  • Menyimpan makanan dalam tin yang telah dibuka dalam peti sejuk. Pindahkan makanan tersebut ke dalam bekas plastik atau kaca sebelum disimpan ke dalam peti sejuk. (Ini adalah kerana jika disimpan dalam tin yang asal, kandungannya akan bertindak balas dengan logam tin tersebut apabila terdedah ke udara)
  • Simpan makanan yang panas ke dalam peti sejuk. (Makanan yang panas perlu disejukkan dulu sebelum disimpan untuk menghalang pertambahan kelembapan dan mengekalkan suhu di dalam peti sejuk)
  • Padatkan rak-rak di dalam peti sejuk. (Ini adalah untuk membolehkan udara yang sejuk beredar dengan baik di dalam peti sejuk)
  • Menyimpan daging, ikan dan ayam di dalam peti sejuk lebih dari 3 hari. (Ini adalah disebabkan kandungan protein dan kelembapan yang tinggi di dalam makanan tersebut akan menggalakkan pembiakan bakteria dan menjadi busuk)
  • Menyimpan makanan atau lebihan makanan lebih dari 5 hari.
Apakah yang dikatakan menyimpan beku?
Menyimpan pada suhu yang mengekalkan makanan dalam keadaan beku. Makanan yang disimpan dalam bahagian beku boleh disimpan untuk tempoh yang lebih lama.
Peraturan untuk menyimpan makanan di bahagian beku:
Anda perlu:
  • Simpan daging, ayam dan ikan dalam bekas, beg plastik yang kedap udara atau dibungkus dengan pembungkus polyethylene. (Ini adalah untuk menghalang kehilangan kelembapan dan untuk mengelakkan pencemaran bahan makanan lain dengan baunya)
  • Potong daging dan ayam kepada bahagian yang lebih kecil. (Bahagian yang lebih kecil akan lebih mudah dibekukan dalam masa yang singkat)
  • Bungkus makanan dengan lapisan plastik atau beg beku sebelum disimpan ke dalam bahagian beku peti sejuk
  • Basuh daging, ikan dan ayam dengan sempurna sebelum disimpan di dalam peti beku
Anda jangan:
  • Menyimpan buah-buahan atau sayur-sayuran di dalam bekas beku. (Suhu pada tahap beku akan merosakkan tisu buah-buahan dan sayuran)
  • Masukkan ramuan ke dalam ayam sebelum disimpan. Masukkan ramuan hanya apabila ingin dimasak.  (Ini adalah kerana peti sejuk di rumah tidak cukup sejuk untuk membekukan daging ayam yang disumbat itu dalam masa yang singkat)
  • Menyimpan padat bahagian beku peti sejuk anda. (Untuk membenarkan udara sejuk mengalir)
  • Membekukan makanan dalam tin. (Pada tahap beku kandungan dalam tin itu akan mengembang dan keadaan ini akan merosakkan tin tersebut dan menyebabkan ia tumpah)
Bagaimana untuk menyimpan makanan pada suhu bilik?

Cara untuk menyimpan makanan pada suhu bilik:
Anda mesti :
  • Menyimpan makanan kering seperti tepung, gula, beras dan serbuk teh di dalam bekas yang bertutup rapat.(Untuk menghalang pencemaran oleh serangga dan tikus)
  • Simpan makanan dalam tin di tempat yang sejuk.
  • Simpan sayuran seperti ubi kentang dan bawang di tempat yang sejuk dan kering, jauh dari sinaran langsung matahari untuk menghalang makanan tersebut dari bercambah.
  • Simpan susu yang telah dinyahkuman atau UHT di tempat sejuk. Simpan di dalam peti sejuk apabila telah dibuka dan habiskan dalam masa seminggu.
  • Simpan roti pada suhu bilik di dalam bekas yang bersih, kering dan berangin.
  • Simpan tepung dalam bekas asalnya di tempat yang sejuk, kering dan berangin. Jangan campur tepung yang lama dengan yang baru.
  • Simpan buah-buahan yang belum masak seperti pisang pada suhu bilik.
  • Jauhkan makanan dari dinding dan paip-paip bagi mengelakkan dicemari oleh tikus dan serangga.
  • Pastikan kabinet untuk menyimpan makanan bersih, kering dan berangin.
Anda jangan :
  • Menyimpan makanan bersama-sama dengan bahan kimia, ubat-ubatan dan racun seperti racun serangga, racun rumpai, racun tikus, peluntur dan sabun.
  • Biarkan makanan yang telah dimasak terhidang lebih dari 4 jam pada suhu bilik.
Sumber : www.konsumerkini.net.my

15 Jun 2010

Tip hari Ini - Tip mengenali skim penipuan

TIP MENGENALI SKIM PENIPUAN
Minimumkan risiko kehilangan wang simpanan anda dengan mengetahui pelbagai jenis pelaburan tidak sah di sisi undang-undang yang terdapat dalam masyarakat kini. Berikut ialah beberapa ciri dan janji yang umumnya ada dalam sesuatu skim penipuan:

  • Untuk setiap pelaburan yang dibuat, anda menerima pulangan yang tinggi, umpamanya, 20 hingga 30% sebulan bagi setiap bulan. Anda tidak pernah ditunjukkan produk yang kononnya berkualiti yang perlu anda jual, sebaliknya dibayar mengikut bilangan orang yang anda latih atau mendaftar diri.
  • Anda diberitahu bahawa tawaran itu hanya untuk tempoh terhad dan anda MESTI membelinya sekarang.
  • Anda diminta memasukkan wang ke dalam bank asing dalam mata wang asing untuk mendapatkan suatu hadiah tetapi anda tidak ingat pun pernah masuk sebarang pertandingan atau cabutan bertuah.
  • Anda menerima panggilan telefon menawarkan peluang-peluang pelaburan.
  • Anda menerima e-mel yang meminta nombor akaun bank anda kerana mereka mahu menghantar wang kepada anda, biasanya berjumlah berjuta-juta dolar Amerika, dari beberapa negara asing.
  • Anda ditawarkan satu produk pelaburan yang menjamin keuntungan besar tanpa sebarang risiko kewangan.
  • Anda diminta melabur dalam satu skim pelaburan. Alamat dan maklumat perhubungan syarikat pelaburan yang menawarkan keuntungan besar kepada anda itu terletak di sebuah negara asing yang anda tidak dapat pastikan di mana kedudukan sebenar syarikat itu.
  • Anda ditawarkan "hadiah percuma" untuk mendapatkan sesuatu kemudian, contohnya, sejumlah wang yang besar.
  • Anda ditawarkan peluang pekerjaan dengan gaji besar tanpa memerlukan pengalaman dan kelayakan akademi yang berkenaan.
  • Anda didatangi oleh seseorang yang mengaku sebagai ejen bagi syarikat dagangan asing (umpamanya yang beribu pejabat di Macau, Bahamas, Kepulauan British Virgin, dan sebagainya) untuk berdagang dalam indeks asing (contohnya, indeks Hang Seng), komoditi (contohnya kopi) atau mata wang asing (contohnya AS$, Yen dan sebagainya) tetapi anda perlu mendepositkan sejumlah wang dalam mata wang asing sebagai "margin", sebelum sesuatu urus niaga boleh dilakukan.
  • Sukar untuk menemui sebarang maklumat mengenai lesen atau kewujudan syarikat itu dalam laman web mana-mana pihak pengawal selia atau pihak berkuasa yang mengawal institusi perbankan dan pelaburan.
Sumber : www.konsumerkini.net.my

Tip Hari Ini - Lelongan dalam talian

LELONGAN DALAM TALIAN

Terfikir untuk membida di lelongan dalam talian, atau menjual beberapa barangan anda. Lelongan internet adalah sumber terbaik untuk pembeli dan penjual, tetapi anda perlu peka akan isunya. Berikut adalah beberapa tip penting yang harus anda ketahui:
  • Nilaikan berapa cepat anda mahu menerima item yang anda sedang di bida, dan sama ada anda sanggup ia dihantar lambat, atau tidak dihantar langsung. Kebanyakan rungutan mengenai penipuan lelongan internet termasuklah penghantaran lambat, tidak dihantar, atau penghantaran produk yang tidak sama kualitinya seperti yang diiklankan.

  • Sama ada anda pembeli atau penjual, baca Terma Penggunaan setiap tapak lelongan sebelum menggunakannya buat kali pertama. Tapak lelongan mungkin mengenakan caj bayaran, mengikut peraturan yang berlainan atau menawarkan perlindungan yang berlainan.
                                                                                   
  • Fikirkan dengan teliti cara pembayaran anda. Ketahui jalan keluar anda jika sesuatu masalah timbul. Jangan hantar wang tunai dan jangan menggunakan perkhidmatan pemindahan wang.

  • Jangan balas e-mel "phishing" mesej yang kelihatan seperti dihantar oleh laman web lelongan atau perkhidmatan bayaran dan meminta kata laluan anda atau maklumat peribadi lain.

  • Kenali siapa yang berurusan dengan anda. Elakkan menjalankan perniagaan dengan penjual yang anda tidak dapat kenal pasti, terutamanya sesiapa yang cuba mengumpan anda keluar dari tapak lelongan dengan menjanjikan urus janji yang lebih menguntungkan. Sahkan nombor telefon penjual jika anda mempunyai soalan atau masalah.

  • Tahu dengan tepat apa yang anda sedang bida. Baca dan cetak satu salinan butiran produk daripada penjual dengan teliti, terutamanya huruf bercetak halus. Simpan salinan semua e-mel yang anda hantar dan terima daripada tapak lelongan atau penjual sebagai bahan bukti jika terjadi masalah.
Sumber: www.konsumerkini.net.my 

13 Jun 2010

Tip Hari Ini - Kecurian identiti dan privasi

KECURIAN IDENTITI DAN PRIVASI
Kecurian identiti berlaku apabila seseorang menggunakan maklumat peribadi anda, seperti nama, hari lahir, nombor telefon, atau nombor kad kredit tanpa kebenaran anda bertujuan untuk menjalankan penipuan atau jenayah lain.
Penting untuk melindungi maklumat peribadi anda serta mengambil tindakan pantas bagi mengurangkan potensi kerosakan daripada kecurian identiti jika maklumat anda didedahkan secara tidak sengaja atau memang dicuri:


Berikut adalah tip untuk melindungi maklumat anda;
  • Berhati-hati semasa memberi maklumat peribadi di dalam laman web, e-mel, sistem permesejan segera, bilik bual atau pada papan mesej, terutamanya apabila anda tidak pasti. Anda berhak menanyakan mengapa dan bagaimana maklumat itu digunakan.

  • Baca pernyataan privasi.

  • Tutup akaun kad kredit yang meragukan serta-merta.

  • Awasi penyata kad kredit anda. Ingat bahawa aktiviti penipuan mungkin tidak akan muncul serta-merta.

  • Bincang dengan institusi kewangan anda mengenai aktiviti yang ganjil pada akaun anda.

  • Hubungi agensi kerajaan yang berkaitan untuk membatalkan dan menggantikan sebarang lesen memandu atau kad pengenalan diri yang hilang.

  • Perhatikan tanda-tanda kecurian identiti: bil yang hilang atau lambat sampai, menerima kad kredit yang anda tidak mohon, ditolak kredit atau ditawarkan terma yang kurang menguntungkan tanpa sebab-sebab yang jelas atau dihubungi pemungut hutang atau orang lain mengenai pembelian yang anda tidak buat.

  • Jangan hantar gambar anda sendiri, gambar rakan atau keluarga anda kepada seseorang yang anda temui atau berbual dalam talian.

  • Jika anda merancang untuk menemui seseorang yang anda telah temui di internet, bawa seorang rakan bersama. Orang di dunia sebenar mungkin berbeza daripada diri mereka dalam talian.

  • Jangan buka e-mel, fail atau pautan tapak web daripada orang yang anda tidak begitu kenal.
Sumber : www.konsumerkini.net.my

12 Jun 2010

Tip Hari Ini - Pajak gadai

PAJAK GADAI

Ramai pengguna berfikir memajak adalah satu cara yang mudah, cara yang selesa untuk meminjam wang. Ia memang betul jika anda dapat menebus balik barangan yang digadai. Namun anda boleh ditipu oleh pekedai pajak gadai yang tidak jujur. Oleh itu, anda perlu berwaspada supaya tidak tertipu dan terpedaya.

Akta Pajak Gadai 1972
Akta Pajak Gadai 1972 telah diluluskan untuk menyeragamkan undang-undang mengenai pajak gadai di seluruh Malaysia. Sebelum itu terdapat Enakmen-Enakmen yang berbeza-beza mengawal aktiviti pajak gadai di tiap-tiap negeri di Semenanjung Malaysia.

DEFINISI

a) Pemegang Pajak Gadai

Orang yang menjalankan perniagaan mengambil barang-barang sebagai pajak gadai digelar sebagai pemegang pajak gadai atau dalam bahasa lnggerisnya 'pawn broker'. Ini termasuklah orang yang menerima barang seseorang lain sebagai cagaran untuk pernbayaran balik wang yang tidak lebih dari RM5,000 yang telah didahulukan.

contoh : A, seorang yang mempunyai wang telah meminjamkan RM100 kepada B yang memerlukan wang itu. Sebagai jaminan untuk pernbayaran balik wang itu, B meninggalkan dengan A sebentuk cincin emas. A di sini disifatkan sebagai seorang yang menjalankan perniagaan mengambil barang barang sebagai pajak gadai. Begitu juga halnya dengan seseorang yang membeli atau menerima barang-barang dan meminjam kepada orang itu sejumlah wang tidak melebihi RM5,000 dengan satu perjanjian atau persetujuan bahawa barang itu boleh dibeli kembali atau ditebus berdasarkan syarat-syarat tertentu.

b) Pemajak Gadai

Akta mendefinisikan pemajak gadai sebagai seorang yang menyerahkan sesuatu barang untuk dipajak gadai kepada seseorang pemegang pajak gadai. Akta juga memperuntukkan bahawa golongan-golongan tertentu tidak boleh menjadi pemajak gadai. Ini termasuklah orang yang dalam keadaan mabuk dan juga orang di bawah umur 16 tahun. Seorang kanak-kanak misalnya tidak boleh disuruh oleh ibu bapanya membawa barang tertentu untuk digadaikan. Sekatan yang dikenakan ke atas golongan ini adalah berasaskan prinsip am undang-undang bahawa orang ini tidak berkeupayaan untuk melibatkan diri dalam apaapa transaksi undang-undang.

Kes Siti Menggadaikan Rantai Emasnya

1 ) Siti menggadaikan rantai emasnya untuk mendapatkan pinjaman RM150.00

2 ) Dia hanya dikenakan kadar faedah 2% sebulan dengan tambahan 50 sen untuk setiap pinjaman melebihi RM10.00.

3) Siti terpaksa membayar RM3.00 kadar faedah ke atas pinjaman setiap bulan. Pada bulan ke enam,
jumlah bayaran faedah tertimbun ialah RM 18.00. Ini bermakna bahawa selepas enam bulan Siti terpaksa membayar RM168.50 untuk menebus gadaiannya.

4) Jika Siti tidak menebus balik gadaiannya dalam tempoh 6 bulan ia boleh dilupuskan. Tetapi oleh kerana pinjamannya melebihi RM100 ia hanya dilakukan melalui lelongan oleh pelelong berlesen.

5) Siti boleh meminta tambahan masa selepas 6 bulan tempoh masa sudah berakhir. Tambahan
masa ini mestilah tidak melebihi 3 bulan dan dia boleh mendapatkan masa tambahan tersebut berulang kali.

6) Jika rantai emas Siti dijual dengan harga RM200.00, perbezaan antara dengan pinjaman ditambah dengan faedah (contohnya RM200.00 - RM168.50 = RM31.50) mestilah diserahkan kepada Siti. Siti mempunyai masa 4 bulan untuk menuntut wang tersebut. Siti mempunyai hak memeriksa buku jualan pelelong untuk mengetahui berapa nilai sebenar rantainya.

7) Lebihan RM31.50 adalah hak mutlak kepada Siti. Kedai pajak gadai dikehendaki memberitahu Siti
mengenai jualan itu melalui surat berdaftar dalam tempoh 7 hari dari had lelongan dan menghantar penyata menunjukkan lebihan berkenaan. Jika Siti tidak menuntut lebihan berkenaan dalam tempoh 4 bulan, kedai pajak gadai berkenaan dikehendaki membayar wang lebihan tersebut kepada Kerajaan dalam masa 14 hari. Siti kemudiannya boleh menuntut lebihan itu dari Perbendaharaan.


PERLU SENTIASA BERINGAT

1 . Semak tarikh luput. Anda tidak boleh menuntut barang selepas tarikh luput, kecuali kedai pajak gadai bersetuju memanjangkan tempoh berkenaan.

2. Selepas tarikh luput semua barangan yang digadai yang nilainya kurang dari RM100 akan menjadi kepunyaan kedai pajak gadai berkenaan dan bukan kepunyaan anda lagi.

3. Semua barang yang tidak ditebus yang nilainya melebihi RM100 boleh dilelong oieh kedai pajak gadai. Anda berhak mendapatkan baki wang yang tinggal dari jualan barang berkenaan selepas ditolak semua kos gadaian.

4. Pemegang pajak gadai perlu menghantar notis berdaftar kepada pemajak gadai mengenai tindakan untuk melelong barangan. Notis ini perlu diterima oleh pemajak gadai tujuh hari sebelum urusan pelelongan.

5. Pemajak gadai dinasihatkan untuk memberi alamat semasa apabila memajak barangan atau memaklumkan sebarang pertukaran alamat secara bertulis kepada pemegang pajak gadai.Ini adalah penting untuk memastikan notis-notis pemberitahuan peleiongan yang dihantar oleh pemegang pajak gadai sampai ke pemajak gadai.

6. Kedai pajak gadai adalah bertanggungjawab atas kehilangan atau kemusnahan akibat kecurian atau kebakaran.

7. Sentiasa mendapatkan resit setiap kali anda membuat pembayaran.

8. Jika kedai pajak gadai mengenakan kadar faedah yang terlalu tinggi (lebih 2% sebulan) ke atas sesuatu pinjaman, anda boleh membawa perkara ini kepada pejabat Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaaan Tempatan (KPKT).

9. Jika anda kehilangan resit/ tiket gadaian anda berhak mendapatkan salinannya secara percuma.

10. Jika anda merasa bahawa gadaian anda berkurang nilai atau jika kedai pajak gadai enggan menyerahkan gadaian anda, buatlah aduan kepada majistret. Majistret mempunyai kuasa untuk memerintah kedai pajak gadai untuk membayar gantirugi yang munasabah.

11. Pastikan kedai pajak gadai yang anda berurusan mempunyai lesen yang sah.

12. Semak buku catatan kedai pajak gadai untuk memastikan bahawa kandungannya adalah sama dengan surat pajak gadai yang anda terima.

Sumber : www.konsumerkini.net.my

11 Jun 2010

Tip Hari Ini - Prinsip meminjam

PRINSIP MEMINJAM

"Nak pinjam ke tak nak pinjam..."
Ianya merupakan persoalan yang kadang kala sukar untuk dijawab oleh kebanyakan individu. Kebanyakan daripada kita akan perlu meminjam untuk membeli kereta pertama atau rumah pertama malahan ada antara kita yang meminjam untuk berkahwin. Sebagai golongan pengguna ramai di antara kita yang tidak tahu prinsip asas meminjam. Informasi di bawah ini menerangkan beberapa komponen utama di dalam proses meminjam.

Apakah komponen utama pinjaman?
Semua pinjaman, sama ada pinjaman kereta, pinjaman rumah atau pinjaman peribadi, terdiri daripada tiga komponen utama:
  • Kadar faedah
  • Cagaran
  • Tempoh
Kadar faedah
  • Kadar faedah ialah caj yang dikenakan oleh pemberi pinjaman kerana menggunakan duit mereka.
  • Biasanya kadar faedah ditunjukkan dalam bentuk peratusan daripada jumlah pinjaman dalam setahun.
  • Faedah yang dikenakan berdasarkan pengkompaunan (iaitu faedah-atas-faedah) dan ia boleh terdiri daripada pengkompaunan tahunan/ bulanan/ harian (satu lagi istilah yang digunakan ialah kiraan atas baki tahunan/bulanan/harian).
Terdapat dua jenis kadar faedah
  • Tetap
  • Boleh ubah
Kadar tetap
Tetap dan tidak berubah. Jika kadar faedah tetap ialah 6% setahun, ia akan kekal 6% setahun sepanjang tempoh pinjaman.

Kadar boleh ubah
Boleh bertukar mengikut masa dan biasanya ditetapkan pada kadar pasaran standard, seperti Kadar Pemberian Pinjaman Asas, BLR (BLR terkini = 6.75%). Sebagai contoh, anda mungkin mengambil pinjaman dengan kadar boleh ubah pada BLR + 1%. Ini bermakna, anda perlu membayar tambahan satu peratus kepada BLR atau berjumlah 7.75% setahun.

Jenis-jenis pinjaman

1. Bercagar
  • Ini merujuk kepada sama ada pemberi pinjaman menghendaki anda mencagarkan aset, biasanya dirujuk sebagai cagaran, untuk menjamin pinjaman anda.
  • Jika anda mempunyai pinjaman bercagar, bermakna pemberi pinjaman anda boleh merampas aset jika anda mungkir menjelaskan hutang pinjaman.
  • Oleh kerana terdapat cara alternatif pembayaran balik, faedah dalam pinjaman bercagar adalah lebih rendah berbanding dengan faedah pinjaman tidak bercagar.
  • Apabila anda membiayai pembelian kereta anda melalui pinjaman bank, anda sebenarnya adalah penyewa (bukan pemilik) kereta yang anda pandu sehingga anda selesai membayar sepenuhnya pinjaman anda.
  • Begitulah juga dalam kes pinjaman rumah, bank akan memiliki 'tuntutan pemilikan' terhadap rumah tersebut sehingga anda selesai membayar sepenuhnya pinjaman rumah.
Tidak bercagar
  • Dalam pinjaman tidak bercagar, tiada aset yang boleh dirampas oleh bank jika mungkir membayar balik pinjaman.
  • Pinjaman tidak bercagar selalunya mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi berbanding dengan pinjaman bercagar.
  • Untuk mengurangkan risiko, institusi pemberian pinjaman kadang kala menghendaki orang ketiga menandatangani perjanjian bagi pinjaman tidak bercagar atau menjamin jumlah pinjaman.
Tempoh pinjaman
  • Tempoh suatu pinjaman ialah jangka masa peminjam perlu membayar balik pinjaman.
  • Kebanyakan pinjaman peribadi/kereta mempunyai tempoh 3 ke 9 tahun, manakala tempoh pinjaman rumah adalah jauh lebih lama dan biasanya boleh mencapai sehingga 30 tahun.
  • Tempoh adalah jangka masa maksimum untuk peminjam membayar balik pinjaman mereka, pinjaman juga boleh dijelaskan sebelum tempoh tamat.
Prinsip asas meminjam
Berikut adalah beberapa prinsip asas meminjam:

Prinsip 1: Meminjam untuk sesuatu yang anda perlukan - bukan yang anda mahukan.
Anda hanya perlu meminjam untuk suatu yang anda benar-benar perlu tetapi tidak mempunyai duit tunai untuk membayarnya. Sebagai contoh, untuk membeli rumah, untuk membiayai pendidikan lanjutan anak-anak dan untuk membeli sebuah kereta.

Prinsip 2: Meminjam sejumlah duit di dalam kemampuan anda untuk membayar balik.
Ramai orang terlebih memberi komitmen dalam hutang kerana menyangka bahawa ekonomi akan terus berkembang dan situasi yang baik akan terus kekal. Tidak perlu dikatakan, bila tiba masanya, mereka ini akan menghadapi kesukaran untuk membuat bayaran balik dan perampasan kereta dan harta mula dikuatkuasakan.
Adalah disarankan bahawa seseorang patut menghadkan jumlah bayaran balik pinjaman kepada kurang daripada 1/3 pendapatan kasarnya.

Prinsip 3: Elakkan daripada meminjam untuk membiayai aset yang susut nilai
Aset yang susut nilai adalah harta yang hilang nilainya mengikut masa, seperti kereta (melainkan jika anda melabur dalam kereta klasik), perabot dan kebanyakan barang dan peralatan rumah. Barangan ini akan susut nilai dengan cepat sementara pinjaman anda berkurangan dengan agak lambat. Dalam situasi di mana anda tidak dapat menjelaskan hutang, barangan tersebut akan dirampas dan anda mesti menambah nilai yang kurang kerana aset susut nilai anda tidak cukup untuk menjelaskan baki pinjaman.
Cuba membeli barang-barang ini secara tunai dari simpanan anda daripada meminjam. Jika tidak, jangan beli (melainkan ia akan menguntungkan perniagaan anda!)

Prinsip 4: Elakkan Daripada Menjadi Penjamin
Sseeorang penjamin bertanggungjawab menjelaskan pinjaman dalam hal apabila peminjam mungkir membayar balik pinjaman atas apa sahaja alasan. Melainkan seorang itu bersedia untuk menunaikan tanggungjawab ini, elakkan diri anda daripada menjadi penjamin.

Prinsip 5: Peminjam Mempunyai Komitmen Moral dan Mutlak Untuk Membayar Balik
Jika anda menghadapi kesukaran untuk membayar balik, berbincanglah dengan pemberi pinjaman agar dapat membuat pelan bayaran balik yang munasabah tetapi jangan sesekali diam atau lari dari membayar hutang pinjaman. Jika anda merasakan tidak mampu untuk membayar hutang pinjaman maka elakkan diri dari meminjam.

Kesimpulan
Jika anda perlu pinjam, pinjamlah! Walaubagaimanapun, pastikan anda sudah jelas memahami prinsip-prinsip meminjam sebelum memberi komitmen padanya. Setelah anda meminjam, hakikatnya anda telah membuat komitmen untuk membayar balik dan pastikan diri anda, sebagai seorang yang bertanggungjawab, menunaikan komitmen tersebut pada setiap masa.

Sumber : www.konsumerkini.net.my