27 Jun 2010

Semasa - Status keselamatan produk pelangsingan badan



Kumpulan Pembela Kesihatan Kanada memberi amaran mengenai produk pelangsingan badan yang disyaki boleh memudaratkan kesihatan.

Tiga produk pelangsingan badan ini adalah Comecoo, Zhongcaoyao dan Qingzhi Santain Shou. Produk pelangsingan badan ini berasal dari Hong Kong dan mengandungi sibutramine yang memerlukan preskripsi doktor.

Sibutramine adalah formulasi dari Barat untuk penekanan nafsu makan pada seseorang bagi tujuan pelangsingan badan dan memerlukan kawalan perubatan yang tegas. Kesan sampingan termasuk penambahan tekanan darah dan degupan jantung. Orang yang mempunyai masalah jantung tidak dinasihatkan mengambil sibutramine.

Selain itu, Comecoo dan Zhongcaoyao juga dikesani kehadiran Phenolphthalein. Phenolphthalein adalah ubat yang digunakan untuk sembelit tetapi didapati ia akan mengakibatkan kanser dan penggunaannya sudah diharamkan. Kesan sampingan termasuk penurunan tekanan darah, kegatalan kulit dan pendarahan usus gastro.

Di samping itu, US Food and Drug Administration, FDA mengesan kehadiran plumbum yang tinggi dalam ubat asma Vita Breath. Vita Breath dihasilkan oleh American Herbal Labs of California. Kehadiran plumbum yang melebihi 10,000 kali dari tahap yang yang dibenarkan dikesan dalam produk ini.

Kanak-kanak mudah terdedah kepada bahaya plumbum. Pendedahan plumbum yang berlebihan akan mengakibatkan kecederaan ginjal dan otak, penurunan berat badan, insomnia, pening kepala, kelemahan badan dan gangguan sistem pembiakan seperti keguguran.

Pengguna dinasihatkan supaya memeriksa produk kesihatan yang sedia ada, jika produk berjenama atau kesan sampingan seperti yang tersenarai di atas ditemui, melaporkan kepada pihak berkuasa Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di talian 03-7883 5400 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.

25 Jun 2010

Jangan membeli sampah

JANGAN MEMBELI SAMPAH
Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam telah lama diwujudkan, namun kita masih melihat agensi yang ditubuhkan di bawah Akta ini melihat kepada hujung masalah. Berjaya atau tidak agensi yang terletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ini merupakan tanggungjawab pucuk pimpinan mereka.

Sebagai langkah pertama, industri-industri boleh meminimumkan pembungkusan dan menggunakan pembungkusan berasaskan kertas.  Terdapat juga peralatan elektronik yang tidak menggunakan polistirena sebagai bahan pembungkusan.  Ia digantikan dengan bahan berasaskan kertas yang direka untuk menepati jenis produk. Penggunaan lestari seperti ini sangat digalakkan, terutamanya bahan pembungkusan (berasaskan kertas) jika dihasilkan daripada kertas yang dikitar semula.

Jika pengguna membeli barangan yang mempunyai banyak pembungkusan, sebenarnya mereka membeli sampah. Kebanyakan syarikat yang maju melakukan banyak penyelidikan untuk mengurangkan pembungkusan. Ini bukan sahaja mengurangkan sampah, tetapi juga mengurangkan penggunaan sumber bahan mentah serta kos operasi syarikat.

Dalam isu penggunaan bekas plastik, industri-industri perlu beralih kepada bahan-bahan yang mudah dikitar semula, dan seterusnya kepada botol berasaskan kaca.  Pusat pungutan (apabila disediakan) mestilah mencukupi untuk memudahkan pengguna menghantar bahan-bahan ini untuk pungutan semula. Persoalan yang lebih besar adalah mewujudkan kemudahan pusat-pusat pungutan semula dan kesedaran masyarakat umum terhadap isu ini.

Terdapat juga produk-produk yang mempraktikkan tanggungjawab sebagai penghasil (Extended Producers Responsibility), iaitu industri mengambil semula model-model lama dan memberi diskaun untuk model yang baru.

Bolehkah kita berbuat demikian dalam pasaran tempatan? Mengapa tidak?

Apabila industri mengambil model-model lama, mereka perlu melihatnya sebagai kemasukan semula bahan mentah ke dalam kitar pembuatan. Penstabilan aktiviti sebegini akan mengambil masa yang lama dan lebih baik jika dimulakan sekarang sebelum ia menjadi mandatori.

Sektor industri juga perlu melakukan Penilaian Kitar Hayat (Life Cycle Assessment - LCA) untuk meningkatkan rekaan produk bagi mencapai tahap “proses hijau”. Langkah ini akan mendedahkan pengurusan bahan mentah dan mengurangkan penghasilan sisa buangan. LCA juga menggalakkan penggunaan bahan-bahan yang boleh dikitar semula dan mesra alam sebelum, semasa dan selepas produksi.

Pada masa yang sama, pengguna memainkan peranan yang penting untuk mengalakkan produk-produk mesra alam.  Pelabelan, pengiktirafan dan penguatkuasaan yang cekap diperlukan untuk mengelakkan berlaku sebarang penyelewengan terhadap usaha ini. Kerjasama penuh daripada semua pihak-pihak berkepentingan diperlukan untuk melaksanakan kepenggunaan lestari yang berkesan.

Kini, terdapat kesedaran dalam kitar semula. Namun sekadar itu sahaja. Konsep 3R (Reduce, Reuse, Recycle – Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula), menggariskan kitar semula sebagai langkah yang terakhir. Pertamanya, kita perlu mengurangkan penggunaan bahan-bahan yang tidak boleh diguna semula, kemudiannya mengurangkan bahan yang tidak boleh di kitar semula. Langkah terakhir adalah mengitar semula. Kita masih kurang berpengetahuan dalam isu kepengunaan lestari dan mempraktikkannya setiap hari.

Praktikkanlah prinsip 3R untuk memastikan dunia yang lebih baik untuk generasi yang akan datang.

Sumber : Pesatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)

24 Jun 2010

Tip Hari Ini - Soalan lazim tentang pajak gada



APAKAH ITU PAJAK GADAI?
Fungsi kedai-kedai pajak gadai ialah memberi pinjaman wang tunai ke atas barang gadaian bagi tempoh enam bulan dengan faedah 2% sebulan.

ADAKAH AKTIVITI PAJAK GADAI DI BAWAH UNDANG-UNDANG YANG SAH?
Akta Pajak Gadai 1972 merupakan peraturan yang diwujudkan untuk menyeragamkan undang-undang mengenai pajak gadai di seluruh negara. Sebelum itu terdapat Enakmen-Enakmen yang berbeza-beza mengawal aktiviti pajak gadai di tiap-tiap negeri di Semenanjung Malaysia.
APAKAH BARANG-BARANG YANG BOLEH DIGADAI?
Barang kemas menjadi pilihan utama serta jam tangan berjenama dan juga pen berjenama. Selain daripada itu, barangan berharga yang lain contohnya komputer riba atau telefon bimbit tidak boleh dipajak.

APAKAH TAHAP PINJAMAN MAKSIMUM YANG BOLEH DIPEROLEHI DARIPADA PAJAK GADAI?
Pinjaman tidak melebihi RM10,000.00 yang dibenarkan oleh Akta Pemegang Pajak Gadai 1972.

ADAKAH TERDAPAT SEKATAN TERHADAP WAKTU PERNIAGAAN DAN SEKATAN TERHADAP PENERIMAAN BARANGAN?

Akta Pajak Gadai 1972 menjelaskan dengan jelas tentang sekatan perniagaan iaitu:
• Tidak boleh menerima apa-apa barang antara pukul 6 petang dengan 8 pagi. Tiada boleh mengadakan urusan perniagaan pada waktu tersebut.
• Tidak boleh berurusan dengan sesiapa yang berumur dibawah 18 tahun.
• Tidak boleh berurusan dengan sesiapa yang berada dalam keadaan mabuk atau tidak sempurna akal.
• Tidak boleh menyimpan apa-apa barangan yang mempunyai tanda-tanda hakmilik kerajaan ataupun kerajaan negeri.
• Apa-apa barangan disyaki “dicuri daripada pemilik asalnya”

APAKAH CARA UNTUK MENGADAI DI PAJAK GADAI?
Pemajak gadai dikehendaki membawa barangan gadaian tersebut untuk mendapatkan pinjaman. Pemegang pajak gadai haruslah mencatatkan butir-butir transaksi pemajakgadaian dalam buku dan mengeluarkan surat pajak gadai.

Contohnya, pemajak gadai ingin meminjam RM150.00 dengan menggadai seutas cincin emas dengan kadar faedah 2% sebulan dalam tempoh 6 bulan. Jumlah yang dipinjam RM150.00 + faedah 2% (2x6bulan = RM18) = RM168.00

BERAPAKAH KADAR FAEDAH YANG AKAN DICAJ?
Menurut Akta Pajak Gadai 1972, faedah yang dibenarkan ialah 2% atau 24% setahun. Kadar faedah yang dikenakan melebihi daripada jumlah tersebut adalah merupakan satu kesalahan.

TEMPOH UNTUK MENEBUS BARANG GADAIAN?
Tempoh gadaian ialah selama enam bulan, tetapi gadaian juga boleh ditebus pada bila-bila masa. Sekiranya tidak dapat menebus gadaian sebelum tamat tempoh, pemajak gadai boleh memberitahu kepada pemegang pajak gadai untuk melanjutkan tempoh masa tidak kurang daripada tiga bulan. Setiap butir lanjutan hendaklah dibuat dalam buku pemegang pajak gadai dan surat pajak gadai.

SEKIRANYA TEMPOH GADAIAN TELAH TAMAT, ADAKAH BARANG GADAIAN MENJADI HAKMILIK PEMEGANG PAJAK GADAI?
Sekiranya pemajak gadai gagal menebus sebelum tamat tempoh, barangan gadaian boleh dilupuskan. Pinjaman yang kurang daripada RM200.00 akan menjadi milik pemegang pajak gadai secara automatik. Jikalau pinjamannya melebihi RM200, ia hanya boleh dilupuskan melalui lelongan awam oleh pelelong berlesen. Pemegang pajak gadai juga boleh membuat tawaran untuk membeli barang gadaian tersebut.

APAKAH PERLINDUNGAN AKTA PEMEGANG PAJAK GADAI 1972 SEKIRANYA GAGAL MENEBUS GADAIAN SEBELUM TAMAT TEMPOH?
Wang lebihan bukanlah hak mutlak pemajak gadai. Pemegang pajak gadai dikehendaki memberitahu pemajak gadai mengenai jualan itu melalui surat berdaftar dalam tempoh tujuh hari dari had lelongan dan menghantar penyata menunjukan lebihan berkenan.

Jika pemajak gadai tidak menuntut lebihan berkenaan dalam tempoh empat bulan, pemegang pajak gadai berkenaan dikehendaki membayar wang lebihan tersebut kepada Akauntan Negara (Kerajaan) dalam masa 14 hari. Pemajak gadai masih boleh menuntut lebihan itu daripada Perbendaharaan.

ADAKAH PEMAJAK GADAI MEMPUNYAI HAK UNTUK MEMERIKSA BUKU JUALAN?
Dalam tempoh empat bulan selepas pelelongan, pemegang pajak gadai hendaklah membenarkan pemegang surat pajak gadai itu memeriksa catatan mengenai jualan itu dalam buku pemegang pajak gadai.

SEKIRANYA RESIT PAJAK GADAI HILANG ATAU BINASA, APAKAH HAK PEMAJAK GADAI?
Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 memperuntukkan salinan surat pajak gadai diberikan secara percuma dengan tidak berlengah. Walau bagaimanapun, perkara yang biasa yang dipraktikkan oleh pemegang pajak gadai ialah meminta pemajak gadai untuk membuat laporan polis dan seterusnya mendapatkan surat sumpah daripada Pesuruhjaya Sumpah.

ADAKAH BARANGAN GADAIAN DIBERIKAN PERLINDUNGAN OLEH PEMEGANG PAJAK GADAI? 

Pemegang Pajak Gadai mempunyai tanggungjawab untuk menjaga barang-barang gadaian itu dengan cermat dan bersungguh-sungguh sebagaimana menjaga harta bendanya. Pmegang Pajak Gadai hendaklah bertanggungjawab bagi kehilangan atau kerosakan barang gadaian Jikalau berlaku rompakan, kebakaran atau malapetaka ke atas kedai pajak gadai sehingga menyebabkan barang gadaian hilang atau rosak. Nilai gadaian itu hendaklah bagi maksud pampasan kepada pemajak gadai itu dikira sebagai satu perempat lebih daripada jumlah pinjaman.

Pemegang Pajak Gadai hanya perlu membayar jumlah pinjaman + 25% lagi kepada pemajak gadai sebagai pampasan. Nilai pampasan tersebut adalah tidak memadai dan juga tidak adil tetapi inilah di peruntukkan dalam Akta Pajak Gadai 1972

APAKAH KELEMAHAN PAJAK GADAI?
- Kadar faedah tinggi iaitu 2% sebulan atau 24% setahun, jauh melebihi kadar pasaran

- Barang kemas yang digadai, sama ada cincin, gelang atau rantai biasanya tidak ditimbang atau diukur. Banyak aduan diterima di Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di mana barang kemas yang digadai itu lebih ringgan atau pendek apabila ditebus. Terdapat aduan yang peniaga pajak gadai sudah kikis sedikit emas daripada barang itu.
Cadangan: Oleh kerana itu, pemajak seharusnya meminta pemegang pajak untuk merekodkan barangan yang digadai contohnya sebentuk cincin, seutas rantai dan yang paling penting menimbang berat dan mengukur panjang rantai emas tersebut dan meminta butir-butir tersebut dituliskan diatas resit sebelum memberikan barangan tersebut.

- Andai peminjam gagal menebus dalam tempoh yang ditetapkan, pemegang pajak gadai boleh memiliki nilai gadaian yang kurang daripada RM200, tanpa melantik pelelong berlesen. Akta Pajak Gadai 1972 juga tidak memperuntukkan barang gadaian dipamerkan sewaktu lelongan awam dilakukan.
Cadangan: Peruntukan mempamerkan barangan gadaian adalah perlu dijadikan keperluan mandatori.

- Terdapat aduan daripada orang ramai berkenan barangan gadaian yang telah dilelong dan punggutan wang lebihan juga tidak diberikan notis seperti yang diperuntukan oleh Akta Pajak Gadai 1972. Ini merupakan satu penganiyaan terhadap pemajak gadai.

- Jika berlaku rompakan, kebakaran atau malapetaka ke atas kedai pajak gadai sehingga menyebabkan barang gadaian hilang atau rosak, pemegang pajak gadai hanya perlu membayar jumlah cagaran yang ditambah 25% lagi kepada pemajak gadai sebagai pampasan. Itu tidak memadai dan tidak adil tetapi inilah yang diperuntukkan dalam akta yang sedia ada.

- APAKAH PERBEZAAN MEMAJAK EMAS DI PAJAK GADAI DAN BANK?
Memajak di Institusi perbankan ada kebaikanya, jikalau berlaku malapetaka yang tidak diingini iaitu rompakan ataupun kebakaran, nilai barangan kemas tersebut akan dipulangkan oleh pihak bank berbanding dengan kedai pajak gadai hanya bertanggungjawab memulangakan lebihan pinjaman sebanyak 25% sahaja.

Sumber : Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

20 Jun 2010

Tip Hari Ini - Tip mengelakkan daripada mendedahkan maklumat semasa pembelian secara talian

TIP MENGELAK DARIPADA MENDEDAHKAN MAKLUMAT PERIBADI SEMASA PEMBELIAN SECARA ATAS TALIAN 

1.      Pastikan kita mempunyai ilmu serta maklumat secukupnya berkenaan selok-belok perdagangan di internet (e-niaga).

2.     Gunakan kaedah carian nama laman web tersebut di Google atau Yahoo. Jika hasil carian anda menunjukkan banyak pengguna yang tidak berpuas hati dengan peniaga atas talian tersebut, mungkin anda perlu lebih berhati-hati.

3.     Pastikan laman atau blog peniaga tersebut ada menyatakan alamat dan nombor telefon sebenar perniagaan mereka. Melakukan siasatan awal secara sendiri adalah lebih baik untuk memastikan maklumat tersebut benar dan boleh dipercayai.

4.     Anda lihat di ruang alamat di browser internet anda, huruf ‘s' di https://, alamat tersebut merujuk kepada transaksi yang selamat dan boleh diyakini. Lihat juga logo ‘mangga' ( di bahagian bawah, kanan browser anda (di sebelah ruang alamat untuk Internet Explorer versi 7). Ini menunjukkan transaksi anda mempunyai enkripsi. Untuk memastikan anda berada di laman web yang sah dan bukan laman web yang ditiru, klik kanan di mana-mana di laman tersebut dan pilih properties. Anda boleh melihat alamat dan maklumat sebenar laman tersebut jika laman tersebut mempunyai enkripsi. Siasat dan dapatkan ilmu kepenggunaan dari masa ke semasa.

5.     Usah terpedaya dengan SMS yang meminta anda memasukkan nombor akaun bank setelah menyatakan anda pemenang cabutan bertuah, pelanggan bertuah atau mendapat hadiah-hadiah lumayan dan di luar jangkaan nilainya dan wang hadiah akan dimasukkan ke dalam akaun anda.

6.     Awas serta berhati-hatilah! Buat pemeriksaan lanjut sebelum anda tertipu, jangan telalu ghairah untuk mendapat untung ataupun menjadi kaya dan terus memberikan nombor akaun, nama, alamat atau segala maklumat yang diminta kepada pihak yang tidak dikenali.

Sumber : www.konsumerkini.net.my

Tip Hari Ini - Tip menyimpan makanan dengan selamat

TIP UNTUK MENYIMPAN MAKANAN DENGAN SELAMAT

Pengenalan
Jika makanan tidak disimpan dengan selamat, ia akan menjadi tempat untuk bakteria membiak dan perubahan kimia akan berlaku. Cara menyimpan makanan yang betul adalah penting kerana:

  • Untuk memastikan makanan berada dalam keadaan yang selamat sehingga dimakan.
  • Untuk mengekalkan rupa dan rasa makanan tersebut.
  • Untuk kesedapan makanan tersebut.
  • Untuk mengekalkan khasiat makanan tersebut.
Makanan perlu disimpan pada suhu yang betul, persekitaran yang bersih dan dimakan sebelum tarikh luput.
Fakta penting
  • Menyimpan dengan betul akan membantu untuk meminimakan makanan menjadi basi, tercemar dan membazir.
  • Makanan yang telah dimasak boleh menjadi tercemar walaupun bercampur dengan sedikit sahaja bahan mentah.
  • Meyimpan dalam peti sejuk adalah cara yang mudah dan selamat untuk menyimpan makanan bagi tempoh masa yang singkat.
  • Jangan basuh sayur-sayuran hijau sebelum disimpan di dalam peti sejuk.
  • Simpan mentega atau marjerin berasingan dari ikan dan buah-buahan kerana ia boleh berubah dengan bau tersebut.
  • Jangan bekukan kembali makanan selepas dinyahbekukan.
  • Simpan telur dan yang berasaskan telur berasingan dari bawang kerana ia boleh berubah dengan bau bawang.
  • Makanan untuk bayi mesti segar dan buang lebihan makanan tersebut (ia tidak sepatutnya disimpan langsung).
  • Baca label pada pembungkus/bekas makanan untuk cara menyimpan sebelum dan selepas membukanya.
Bagaimana untuk menyimpan makanan dengan betul?
Ada beberapa cara untuk menyimpan makanan:
  • Penyejukan
  • Pembekuan
  • Penyimpanan pada suhu bilik
Cara untuk menyimpan makanan bergantung kepada jenis makanan.
Bagaimana cara makanan disimpan di dalam peti sejuk?
Peraturan untuk menyimpan makanan di dalam peti sejuk:
Anda perlu:
  • Simpan semua makanan yang telah dimasak di dalam bekas yang bertutup, beg plastik yang bertutup, di bungkus dengan plastik nipis atau kertas aluminium. ( Ini adalah untuk mengurangkan pengeringan, pencemaran, perubahan bau dan tumpah)
  • Simpan makanan yang telah dimasak di bahagian atas dan bahagian yang berbeza dengan yang mentah (Ini disebabkan oleh kerana bahan mentah seperti daging mentah dan sayur-sayuran biasanya mengandungi bakteria yang merbahaya yang boleh mencemar makanan yang telah dimasak dan menyebabkan keracunan dan basi)
  • Simpan bahan mentah yang mungkin akan tumpah di dalam bekas. Letakkan di bahagian bawah peti sejuk (Ini adalah untuk menggelakkan tumpahan dari bahan mentah boleh mencemar makanan yang telah dimasak)
  • Simpan telur dan makanan yang berasaskan telur di bahagian yang lebih sejuk. (Ini adalah kerana suhu yang lebih rendah melembapkan pembiakan bakteria)
  • Bungkus sayur-sayuran dengan bekas plastik yang berlubang. (Kenapa?Ini akan mengurangkan kehilangan air dan untuk peredaran udara)
  • Letak sayur-sayuran dan buah-buahan di bahagian bawah peti sejuk. (Ia bertujuan untuk mengelakkan daripada rosak oleh pembekuan)
Anda jangan:
  • Menyimpan makanan dalam tin yang telah dibuka dalam peti sejuk. Pindahkan makanan tersebut ke dalam bekas plastik atau kaca sebelum disimpan ke dalam peti sejuk. (Ini adalah kerana jika disimpan dalam tin yang asal, kandungannya akan bertindak balas dengan logam tin tersebut apabila terdedah ke udara)
  • Simpan makanan yang panas ke dalam peti sejuk. (Makanan yang panas perlu disejukkan dulu sebelum disimpan untuk menghalang pertambahan kelembapan dan mengekalkan suhu di dalam peti sejuk)
  • Padatkan rak-rak di dalam peti sejuk. (Ini adalah untuk membolehkan udara yang sejuk beredar dengan baik di dalam peti sejuk)
  • Menyimpan daging, ikan dan ayam di dalam peti sejuk lebih dari 3 hari. (Ini adalah disebabkan kandungan protein dan kelembapan yang tinggi di dalam makanan tersebut akan menggalakkan pembiakan bakteria dan menjadi busuk)
  • Menyimpan makanan atau lebihan makanan lebih dari 5 hari.
Apakah yang dikatakan menyimpan beku?
Menyimpan pada suhu yang mengekalkan makanan dalam keadaan beku. Makanan yang disimpan dalam bahagian beku boleh disimpan untuk tempoh yang lebih lama.
Peraturan untuk menyimpan makanan di bahagian beku:
Anda perlu:
  • Simpan daging, ayam dan ikan dalam bekas, beg plastik yang kedap udara atau dibungkus dengan pembungkus polyethylene. (Ini adalah untuk menghalang kehilangan kelembapan dan untuk mengelakkan pencemaran bahan makanan lain dengan baunya)
  • Potong daging dan ayam kepada bahagian yang lebih kecil. (Bahagian yang lebih kecil akan lebih mudah dibekukan dalam masa yang singkat)
  • Bungkus makanan dengan lapisan plastik atau beg beku sebelum disimpan ke dalam bahagian beku peti sejuk
  • Basuh daging, ikan dan ayam dengan sempurna sebelum disimpan di dalam peti beku
Anda jangan:
  • Menyimpan buah-buahan atau sayur-sayuran di dalam bekas beku. (Suhu pada tahap beku akan merosakkan tisu buah-buahan dan sayuran)
  • Masukkan ramuan ke dalam ayam sebelum disimpan. Masukkan ramuan hanya apabila ingin dimasak.  (Ini adalah kerana peti sejuk di rumah tidak cukup sejuk untuk membekukan daging ayam yang disumbat itu dalam masa yang singkat)
  • Menyimpan padat bahagian beku peti sejuk anda. (Untuk membenarkan udara sejuk mengalir)
  • Membekukan makanan dalam tin. (Pada tahap beku kandungan dalam tin itu akan mengembang dan keadaan ini akan merosakkan tin tersebut dan menyebabkan ia tumpah)
Bagaimana untuk menyimpan makanan pada suhu bilik?

Cara untuk menyimpan makanan pada suhu bilik:
Anda mesti :
  • Menyimpan makanan kering seperti tepung, gula, beras dan serbuk teh di dalam bekas yang bertutup rapat.(Untuk menghalang pencemaran oleh serangga dan tikus)
  • Simpan makanan dalam tin di tempat yang sejuk.
  • Simpan sayuran seperti ubi kentang dan bawang di tempat yang sejuk dan kering, jauh dari sinaran langsung matahari untuk menghalang makanan tersebut dari bercambah.
  • Simpan susu yang telah dinyahkuman atau UHT di tempat sejuk. Simpan di dalam peti sejuk apabila telah dibuka dan habiskan dalam masa seminggu.
  • Simpan roti pada suhu bilik di dalam bekas yang bersih, kering dan berangin.
  • Simpan tepung dalam bekas asalnya di tempat yang sejuk, kering dan berangin. Jangan campur tepung yang lama dengan yang baru.
  • Simpan buah-buahan yang belum masak seperti pisang pada suhu bilik.
  • Jauhkan makanan dari dinding dan paip-paip bagi mengelakkan dicemari oleh tikus dan serangga.
  • Pastikan kabinet untuk menyimpan makanan bersih, kering dan berangin.
Anda jangan :
  • Menyimpan makanan bersama-sama dengan bahan kimia, ubat-ubatan dan racun seperti racun serangga, racun rumpai, racun tikus, peluntur dan sabun.
  • Biarkan makanan yang telah dimasak terhidang lebih dari 4 jam pada suhu bilik.
Sumber : www.konsumerkini.net.my