16 Julai 2010

Program pertandingan kepenggunaan 2010 mendapat sambutan menggalakkan

Sempena Bulan Pengguna Kebangsaan (BPK) 2010 ini, Gabungan Persatuan-Persatuan Penguna Malaysia (FOMCA) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah menganjurkan Pertandingan Kepenggunaan.

Objektif utama penganjuran program pertandingan ini adalah untuk memberi makluman dan kesedaran mengenai Sambutan Hari Pengguna Malaysia yang disambut pada 26 Julai setiap tahun dalam bentuk pelbagai pertandingan yang dianjurkan. Pendidikan dan kesedaran kepenggunaan  tidak hanya diperolehi secara formal melalui ceramah, bengkel, seminar, kempen, penerbitan dan sebagainya, ia juga boleh disemai melalui aktiviti-aktiviti seperti pertandingan.

Sebanyak 7 kategori pertandingan kepenggunaan telah diadakan.  Pertandingan-pertandingan tersebut ialah:

1.      Mengarang Esei Kepenggunaan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, guru dan pensyarah, Institusi Pengajian Tinggi Awam, Swasta, Institut Pendidikan Guru dan Kolej.

2.     Melukis Poster Kepenggunaan untuk pelajar sekolah rendah, menengah dan awam

3.     Kartun Kepenggunaan untuk awam

4.     Fotografi Kepenggunaan untuk amatur

5.     Buku Skrap dan Folio Kepenggunaan untuk kelab pengguna sekolah

6.     Mewarna Kepenggunaan untuk kanak-kanak dan pelajar sekolah rendah

7.     Blog Kepenggunaan untuk pelajar sekolah menengah dan Institusi Pengajian Tinggi.

Topik pertandingan adalah berkaitan dengan isu kepenggunaan global termasuk  amalan penggunaan lestari, perkhidmatan awam, pengurusan kewangan berhemah,  keselamatan makanan, perubahan cuaca dan  isu-isu berkaitan dengan kepenggunaan.

Bagi menyertai pertandingan ini, mereka perlu membuat kajian melalui pelbagai bahan bacaan dan laman web. Ini secara tidak langsung akan memberikan maklumat kepada mereka tentang ilmu kepenggunaan. Ia juga bertujuan untuk melibatkan anggota masyarakat daripada pelbagai lapisan untuk turut serta dalam menjayakan Hari Pengguna Malaysia ini

Pertandingan Kepenggunaan yang memasuki tahun ke-9 ini berlangsung selama 4 bulan, iaitu bermula pada 18 Februari sehingga 31 Jun 2010. Sehingga tarikh  tutupnya, jumlah penyertaan pertandingan kepenggunaan pada tahun ini amat mengalakkan, iaitu sebanyak 60,894 penyertaan telah diterima. Jumlah penyertaan pada tahun ini merupakan jumlah terbanyak yang diperolehi sepanjang penganjuran Pertandingan Kepenggunaan bermula tahun 2002 hingga tahun 2010. Pertambahan penyertaan ini disebabkan oleh promosi pertandingan melalui program jangkauan yang diperhebatkan, khususnya di sekolah-sekolah dan komuniti.

Sebanyak 23 pasar raya giant dan 7 buah pusat komuniti telah diadakan program pertandingan mewarna kepenggunaan, yang melibatkan penyertaan sebanyak 6,318 orang. Manakala promosi pertandingan yang diadakan di sekolah seluruh Semenanjung Malaysia adalah sebanyak 49 buah yang menyaksikan jumlah penyertaan pelajar sebanyak 10,723 orang. Bagi memudahkan penyebaran maklumat tentang pertandingan kepenggunaan ini, FOMCA telah mengadakan laman web khas, iaituwww.mypengguna.com. Laman web ini mengandungi semua maklumat pertandingan kepenggunaan yang diperlukan. Selain itu, beberapa pertandingan juga boleh dihantar secara on-line melalui laman web ini bagi memudahkan para peserta menyertai pertandingan tersebut.

Bagi tahun 2010, FOMCA telah menyediakan hadiah sebanyak RM150,000 bagi keseluruhan pertandingan. Sementera itu, sebanyak RM9,000 diperuntukkan bagi Anugerah Penyertaan Terbanyak Peringkat Sekolah. Semua peserta pertandingan akan diberikan sijil penyertaan.

Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kepenggunaan 2010

Majlis penyampaian hadiah pertandingan kepenggunaan 2010 akan diadakan di Kolej Kejururawatan dan Kesihatan Masterskill, Ipoh, Perak. Selain penyampaian hadiah bagi semua pertandingan kepenggunaan, pelbagai acara juga diadakan pada hari tersebut, iaitu pertandingan mewarna akhir bagi kanak-kanak pra-sekolah dan sekolah rendah, gerai pameran, demontrasi dan sebagainya. Tetamu dijangkakan mencecah 2,500 orang akan hadir pada majlis ini terdiri daripada semua pemenang di seluruh Malaysia, ibu bapa, penjaga, guru-guru,pensyarah, wakil – wakil dari jabatan kerajaan, dan badan-badan korporat

Majlis ini akan disempurnakan oleh Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Pogram Pertandingan Kepenggunaan ini turut ditaja oleh pelbagai syarikat korporat, antaranya Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, GCH (M) Sdn Bhd, Pertroliam Nasional Berhad, Kolej Kejururawatan dan Kesihatan Masterskill, minuman Tropicana Twister, Astro, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dan sebagainya.

Sumber : www.konsumerkini.net.my

0 komen:

Catat Ulasan