16 Julai 2010

Petrol naik 5 sen, Gula naik 25 sen, Gas asli naik 10 sen

Berkuatkuasa hari ini, beberapa lagi barangan bersudsidi akan dinaikkan harga sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menggurangkan sudsidi kerajaan. Bermula hari ini, gula dinaikkan 25 sen sekilogram, petrol dinaikkan 5 sen per liter, dan gas asli naik 10 sen per kilogram.

·        Gula : daripada RM 1.65 kepada RM 1.90 per kilogram
·        Petrol : daripada RM 1.80/RM 2.05 kepada RM 1.85/RM 2.10
·        Gas asli : daripada RM 21.00 (12KG) kepada RM 22.20

Berikut merupakan berita daripada Berita Harian berkaitan dengan kenaikan harga barang.


PUTRAJAYA: Kerajaan semalam mengumumkan penyelarasan harga petrol, diesel, petroleum gas cecair (LPG) dan gula berkuat kuasa hari ini sebagai langkah pertama Program Rasionalisasi Subsidi.

Penyelarasan semula harga barang itu membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta tahun ini dan mengimbangi defisit kewangan negara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat ACPerdana Menteri, harga RON 95 dan diesel diselaraskan sebanyak lima sen seliter bagi semua sektor, LPG (10 sen sekilogram), gula (25 sen sekilogram), manakala petrol premium RON 97 akan diapung secara terkawal.
Walaupun harga barang ini diselaraskan, kerajaan masih membelanjakan lebih kurang RM7.82 bilion setahun untuk subsidi bahan bakar dan gula. Harga bahan bakar dan gula di negara ini juga paling rendah di rantau ini walaupun adanya penyelarasan harga ini, katanya.

Kenyataan itu menjelaskan keputusan menyelaraskan harga bahan api dan gula itu dibuat berasaskan tiga perkara penting iaitu:


  • Semua subsidi ini tidak menepati sasaran ia juga memberi faedah kepada pihak yang tidak layak iaitu warga asing dan rakyat berpendapatan tinggi yang mampu membayar petrol tanpa subsidi.

    Subsidi gula berlebihan pula memberi faedah kepada industri dan bukan keluarga. Hampir dua kali ganda subsidi gula digunakan sektor perniagaan berbanding isi rumah. 
  • Barangan bersubsidi tinggi selalunya membawa kepada aktiviti penyeludupan kerana pemberian subsidi menjadikan barangan itu paling murah di rantau ini. Tahun lalu saja, ramai penyeludup ditangkap ketika cuba membawa keluar lebih 200 tan gula. Diesel pula terus diseludup dan dijual secara haram di negara jiran. 

  • Penggunaan bahan bakar yang berlebihan akan mengurangkan sumber negara dengan cepat dan tidak menyumbang kepada usaha melindungi alam sekitar, manakala pengurangan penggunaan gula dilihat sebagai langkah tepat bagi menangani isu kesihatan kerana 40 peratus rakyat Malaysia berlebihan berat badan dan jumlah penghidap diabetes pula meningkat.


Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, subsidi bagi bidang pelajaran dan kesihatan akan terus dipertahankan kerana ia penting bagi negara di mana kerajaan seharusnya melabur, menyediakan bantuan untuk mengembangkan kemahiran dan membina tenaga kerja untuk masa depan. 
(Sumber:Berita Harian)

Program pertandingan kepenggunaan 2010 mendapat sambutan menggalakkan

Sempena Bulan Pengguna Kebangsaan (BPK) 2010 ini, Gabungan Persatuan-Persatuan Penguna Malaysia (FOMCA) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah menganjurkan Pertandingan Kepenggunaan.

Objektif utama penganjuran program pertandingan ini adalah untuk memberi makluman dan kesedaran mengenai Sambutan Hari Pengguna Malaysia yang disambut pada 26 Julai setiap tahun dalam bentuk pelbagai pertandingan yang dianjurkan. Pendidikan dan kesedaran kepenggunaan  tidak hanya diperolehi secara formal melalui ceramah, bengkel, seminar, kempen, penerbitan dan sebagainya, ia juga boleh disemai melalui aktiviti-aktiviti seperti pertandingan.

Sebanyak 7 kategori pertandingan kepenggunaan telah diadakan.  Pertandingan-pertandingan tersebut ialah:

1.      Mengarang Esei Kepenggunaan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, guru dan pensyarah, Institusi Pengajian Tinggi Awam, Swasta, Institut Pendidikan Guru dan Kolej.

2.     Melukis Poster Kepenggunaan untuk pelajar sekolah rendah, menengah dan awam

3.     Kartun Kepenggunaan untuk awam

4.     Fotografi Kepenggunaan untuk amatur

5.     Buku Skrap dan Folio Kepenggunaan untuk kelab pengguna sekolah

6.     Mewarna Kepenggunaan untuk kanak-kanak dan pelajar sekolah rendah

7.     Blog Kepenggunaan untuk pelajar sekolah menengah dan Institusi Pengajian Tinggi.

Topik pertandingan adalah berkaitan dengan isu kepenggunaan global termasuk  amalan penggunaan lestari, perkhidmatan awam, pengurusan kewangan berhemah,  keselamatan makanan, perubahan cuaca dan  isu-isu berkaitan dengan kepenggunaan.

Bagi menyertai pertandingan ini, mereka perlu membuat kajian melalui pelbagai bahan bacaan dan laman web. Ini secara tidak langsung akan memberikan maklumat kepada mereka tentang ilmu kepenggunaan. Ia juga bertujuan untuk melibatkan anggota masyarakat daripada pelbagai lapisan untuk turut serta dalam menjayakan Hari Pengguna Malaysia ini

Pertandingan Kepenggunaan yang memasuki tahun ke-9 ini berlangsung selama 4 bulan, iaitu bermula pada 18 Februari sehingga 31 Jun 2010. Sehingga tarikh  tutupnya, jumlah penyertaan pertandingan kepenggunaan pada tahun ini amat mengalakkan, iaitu sebanyak 60,894 penyertaan telah diterima. Jumlah penyertaan pada tahun ini merupakan jumlah terbanyak yang diperolehi sepanjang penganjuran Pertandingan Kepenggunaan bermula tahun 2002 hingga tahun 2010. Pertambahan penyertaan ini disebabkan oleh promosi pertandingan melalui program jangkauan yang diperhebatkan, khususnya di sekolah-sekolah dan komuniti.

Sebanyak 23 pasar raya giant dan 7 buah pusat komuniti telah diadakan program pertandingan mewarna kepenggunaan, yang melibatkan penyertaan sebanyak 6,318 orang. Manakala promosi pertandingan yang diadakan di sekolah seluruh Semenanjung Malaysia adalah sebanyak 49 buah yang menyaksikan jumlah penyertaan pelajar sebanyak 10,723 orang. Bagi memudahkan penyebaran maklumat tentang pertandingan kepenggunaan ini, FOMCA telah mengadakan laman web khas, iaituwww.mypengguna.com. Laman web ini mengandungi semua maklumat pertandingan kepenggunaan yang diperlukan. Selain itu, beberapa pertandingan juga boleh dihantar secara on-line melalui laman web ini bagi memudahkan para peserta menyertai pertandingan tersebut.

Bagi tahun 2010, FOMCA telah menyediakan hadiah sebanyak RM150,000 bagi keseluruhan pertandingan. Sementera itu, sebanyak RM9,000 diperuntukkan bagi Anugerah Penyertaan Terbanyak Peringkat Sekolah. Semua peserta pertandingan akan diberikan sijil penyertaan.

Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kepenggunaan 2010

Majlis penyampaian hadiah pertandingan kepenggunaan 2010 akan diadakan di Kolej Kejururawatan dan Kesihatan Masterskill, Ipoh, Perak. Selain penyampaian hadiah bagi semua pertandingan kepenggunaan, pelbagai acara juga diadakan pada hari tersebut, iaitu pertandingan mewarna akhir bagi kanak-kanak pra-sekolah dan sekolah rendah, gerai pameran, demontrasi dan sebagainya. Tetamu dijangkakan mencecah 2,500 orang akan hadir pada majlis ini terdiri daripada semua pemenang di seluruh Malaysia, ibu bapa, penjaga, guru-guru,pensyarah, wakil – wakil dari jabatan kerajaan, dan badan-badan korporat

Majlis ini akan disempurnakan oleh Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Pogram Pertandingan Kepenggunaan ini turut ditaja oleh pelbagai syarikat korporat, antaranya Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, GCH (M) Sdn Bhd, Pertroliam Nasional Berhad, Kolej Kejururawatan dan Kesihatan Masterskill, minuman Tropicana Twister, Astro, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dan sebagainya.

Sumber : www.konsumerkini.net.my

07 Julai 2010

Mi Segera

MI SEGERA – ADAKAH SELAMAT DIMAKAN?
Mengikut trend permintaan mi segera dunia bagi tahun 2007-2009 yang dikeluarkan oleh Persatuan Mi Segera Sedunia (WINA), Malaysia berada pada kedudukan ketiga belas, iaitu sebanyak 11.8 (2007), 12.1 (2008), 12.0 (2009) bagi setiap 100 juta paket. Menduduki tangga pertama adalah China, diikuti oleh Indonesia, Jepun, Vietnam dan Amerika Syarikat.

Pada tahun 1958, Momofuku Ando (gambar) telah mencipta "CHICKEN RAMEN™" iaitu mi segera pertama dunia. Dengan terciptanya mi segera tersebut, sekali gus telah tercipta satu revolusi dalam budaya kulinari. Pada tahun 1971 pula, beliau telah berjaya mencipta "CUP NOODLE ®" iaitu produk mi segera jenis cawan yang pertama di dunia. Usaha dan kreativiti beliau telah berjaya melahirkan satu industri pembekalan mi segera tahunan sebanyak 91.6 bilion hidangan ke seluruh dunia.

Melihat kepada situasi ini, kita boleh membuat anggapan bahawa mi segera ini adalah makanan dunia, bukan sahaja bagi negara yang sedang membangun, malah ia juga menjadi makanan kegemaran di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun.

Seperti yang kita sedia maklum, mi segera adalah makanan yang murah, mudah disediakan dan cukup popular dalam kalangan generasi muda. Sesetengah berpendapat bahawa mi segera adalah makanan yang tidak sihat dan tidak selamat untuk selalu dimakan, tetapi ada juga pihak yang mengatakan bahawa mi segera adalah selamat dimakan.

Kekeliruan yang berlarutan sejak sekian lama ini disebabkan oleh kandungan mi segera tersebut yang didapati tinggi dengan karbohidrat dan rendah fiber, vitamin dan mineral. Dikatakan juga bahawa mi segera mengandungi lemak tepu dan lemak trans yang tinggi. Mi segera turut didakwa tidak sihat kerana ia tinggi kalori dan bahan penambah perisa (MSG) yang digunakan di dalam perencah yang disertakan sekali di dalam bungkusannya.
MSG atau nama penuhnya Monosodium Glutamate  adalah penambah perisa yang kerap digunakan bukan sahaja di dalam mi segera, tetapi juga di dalam sup, sos, kuah, makanan di kedai-kedai makan dan makanan-makanan di dalam tin. MSG ini dikatakan boleh mendatangkan kesan-kesan kesihatan seperti ruam, serangan asma, sakit kepala dan sawan. Walau bagaimanapun, banyak kajian mendalam perlu dijalankan bagi membuktikan kesan-kesan kesihatan ini. 
Namun, bagi menyangkal segala dakwaan ini, hasil analisis makmal Kementerian Kesihatan mendapati mi segera selamat untuk dimakan oleh orang ramai. Berita Harian bertarikh 26 Mei 2010 memetik bahawa analisis yang dilakukan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mengenai kandungan garam di dalam sebungkus mi segera itu mendapati kandungan bahan berkenaan tidak melebihi tahap yang disyorkan pihak kementerian.

Pengarah BKKM, Noraini Mohd Othman berkata, secara purata, kandungan garam dalam satu paket mi segera di negara ini adalah antara dua gram hingga tiga gram. Kementeiran kesihatan turut merujuk kepada Panduan Diet Malaysia yang mengesyorkan pengambilan lima gram sehari bagi orang dewasa dan 4.75 gram sehari bagi kanak-kanak selaras saranan Institut Perubatan.

Kementerian turut menjalankan analisis makmal ke atas 73 jenis bekas makanan, termasuk bekas mi dalam cawan yang diperbuat daripada plastik jenis polipropilena serta polistirena dan ujian mendapati semua sampel yang digunakan membuat cawan mematuhi piawaian yang ditetapkan

Noraini juga menjelaskan tahap piawai garam dalam mi segera tidak termaktub dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985 kerana penggunaan garam oleh pihak industri bagi produk mereka adalah bergantung kepada formulasi produk dan tahap penerimaan pengguna.

Menurut pakar pemakanan, Gaiyal Subramaniam berkata, mi segera sememangnya sesuai diambil sebagai alas perut bagi mereka yang tidak sempat mengambil hidangan sempurna. Tetapi seelok-eloknya ubah cara penyediaan hidangan mi segera tersebut supaya ia lebih berkhasiat dan mengenyangkan.

Sumber : Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)