02 Jun 2010

Tip Hari Ini - Cara membuat aduan

Cara Membuat Aduan

1) Tindakan Anda Sendiri

Anda boleh berhenti daripada menggunakan barang yangberkenaan. Kemudian berhadapan dengan penjual secara peribadi untuk mendapatkan penyelesaian. Bawa sekali barang tersebut, resit dan bukti pembelian bersama-sama anda.
ADUAN DAN TEBUS GANTI

2) Aduan melalui telefon

Aduan juga boleh dibuat melalui telefon. Pengguna boleh menelefon penjual untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap barang yang menimbulkan masalah. Kebiasaannya, pengguna akan diminta untuk datang semula ke kedai atau pasar raya yang berkenaan dengan membawa barangan yang terlibat serta sebarang dokumen yang boleh menjadi bukti aduan. Catatkan nama orang yang telah bercakap dengan anda mengenai aduan itu, tarikh, masa, nombor aduan serta apa yang telah diperkatakan.

3) Aduan Secara Bertulis

Pengguna juga boleh membuat aduan secara bertulis. Ini merujuk kepada surat aduan yang mengandungi butir-butir yang perlu berkaitan aduan kepada penjual. Pastikan anda tidak menghantar resit, kad jaminan dan bukti pembelian asal yang lain. Sebaikbaiknya, salinan surat tersebut turut dihantar kepada pihak-pihak lain yang boleh membantu mendapatkan penyelesaian, seperti agensi kerajaan yang berkenaan, persatuan pengguna yang berhampiran, persatuan penduduk atau akhbar-akhbar yang mempunyai ruangan khas aduan pengguna. Sekiranya anda mempunyai surat jaminan atau waranti, sertakan salinannya bersama-sama surat aduan.

4) Tindakan secara kolektif

Pengguna boleh mengambil tindakan secara kolektif dengan mengumpulkan mereka yang menghadapi masalah yang sama dengan anda untuk membuat aduan kepada pihak yang berkuasa. Jika anda telah membuat aduan seperti cara-cara yang dinyatakan di atas tetapi masih gagal untuk mendapatkan penyelesaian dan memerlukan bantuan, anda boleh menghubungi pejabat cawangan Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan atau persatuan-persatuan Pengguna tempatan. Anda juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (National Consumer Complaint Centre) untuk membuat aduan.

National Consumer Complaints Centre (NCCC)
No 1D, Jalan SS9A/17, Sungei Way
47300 Petaling Jaya, Selangor
Tel : 03-78779000
Fax : 03-78748097
SMS : 013-myaduan | 692386
E-mail : myaduan@nccc.org.my
E-aduan: www.nccc.org.my

Sekiranya anda masih gagal mendapatkan penyelesaian, anda boleh membuat tuntutan melalui agensi-agensi tebus ganti seperti Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.

AGENSI-AGENSI TEBUS GANTI

• Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM)
• Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Malaysia (TTPR)
• Mahkamah Tuntutan Kecil – Mahkamah Majistret (Small Claims Court)
• Mahkamah Sivil
• Biro Pengantaraan Kewangan (Financial Mediation Bureau)
• Surhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)
• Biro Pengaduan Awam (BPA)
• Bank Negara Malaysia (BNM)
• Bahagian Penguatkuasa kementerian bertanggungjawab seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

0 komen:

Catat Ulasan